Pertikai peruntukan sekolah Cina bukan hasutan - Utusan Malaysia

Pertikai peruntukan sekolah Cina bukan hasutan

KERAJAAN tidak mempunyai kewajipan membantu sekolah menengah persendirian Cina kerana ia tidak bertaraf pihak berkuasa awam mahupun badan berkanun. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menegaskan, bantuan RM15.75 juta kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) adalah tidak wajar untuk diberikan pada waktu ini, sekiranya kebajikan dan infrastruktur sekolah seliaan kerajaan yang daif tidak diberi keutamaan.

Kami mengakui kerajaan hari ini tidak pernah terlepas pandang isu sekolah daif ini, namun kami juga percaya bantuan kepada SMPC berjumlah RM250,000 setiap sekolah tidak akan timbul sekiranya isu sekolah daif diberi keutamaan.

Selain itu, GPMS juga menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai kewajipan membantu SMPC seperti dinyatakan melalui penghakiman dalam kes Mohd. Alif Anas Md. Noor & Ors. lwn. Menteri Pendidikan Malaysia & Anor. (2022) di mana sekolah vernakular termasuk SMPC dinyatakan tidak bertaraf pihak berkuasa awam mahupun badan berkanun.

Ini berbeza dengan universiti awam di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang mewajarkannya mendapat dana atau bantuan daripada kerajaan.

GPMS ingin menegaskan bahawa tidak wajar sekolah bersifat persendirian diberikan peruntukan kerajaan, apatah lagi sumber utamanya ialah hasil bayaran cukai daripada rakyat.

Kami berpendapat, bantahan daripada pelbagai pihak berkenaan bantuan ini langsung tidak melibatkan apa-apa agenda politik kepartian.

Ini merupakan bantahan murni daripada rakyat terutama yang amat mengambil berat tentang pendidikan negara.

GPMS percaya pihak-pihak yang menyatakan bantahan ini merupakan cubaan untuk menghasut sentimen perkauman adalah tuduhan jahat dan tidak berasas sama sekali.

Sekolah kerajaan inilah yang sentiasa menyokong agenda pendidikan negara, maka perhatian penuh sepatutnya diberikan.

Janganlah sampai anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah mati kebuluran. – UTUSAN

MOHD. WAFIYUDDIN AL-AWAL MUSA, Ahli Majlis Tertinggi GPMS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya