Periksa sistem elektrik rumah setiap tahun - Utusan Malaysia

Periksa sistem elektrik rumah setiap tahun

APABILA peralatan elektrik mempunyai masalah pendawaian atau komponen yang rosak, ini juga boleh menyebabkan litar pintas. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, sebelum rakyat pulang bercuti di kampung sempena Hari Raya Aidilfitri terdapat bermacam-macam nasihat termasuk mengelak daripada berlaku litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

Nasihat ini berguna diikuti walaupun ketika kita berada di rumah. Beberapa langkah pencegahan terbaik yang boleh diambil adalah pertama, periksa soket sebelum menggunakannya.

Di belakang semua soket di rumah anda, terdapat kotak dengan berbilang wayar yang dipasang. Beberapa punca litar pintas yang paling biasa dikaitkan dengan soket ini, berpunca daripada usia, sambungan wayar longgar atau pendawaian yang rosak.

Walaupun mungkin sukar untuk mengesan masalah ini disebabkan ia tersembunyi di sebalik dinding, tabiat selalu memeriksa soket sebelum menggunakannya boleh memberikan impak yang besar.

Jika kita perasan terdapat kesan melecur pada soket atau terdapat bau terbakar datang daripadanya, ini mungkin cukup untuk menunjukkan soket tersebut mempunyai masalah.

Selain itu, jika soket mengeluarkan bunyi berdengung atau mengeluarkan percikan api apabila digunakan, kita harus mengelak daripada terus menggunakannya.

Kedua, periksa peralatan elektrik sebelum memasangkannya kepada soket. Apabila perkakas mempunyai masalah pendawaian atau komponen yang rosak, ini juga boleh menyebabkan litar pintas.

Walaupun tiada masalah dengan soket, pemasangan perkakas yang rosak boleh merosakkan soket tersebut dan lebih teruk lagi akan menyebabkan litar pintas.

Terdapat beberapa tanda utama kerosakan peralatan elektrik. Jika kita melihat kerosakan pada kabel atau terdapat retakan pada peralatan tersebut, sebaiknya jangan digunakan.

Kita harus berhati-hati dengan peralatan yang memiliki komponen elektrik yang terdedah dan sebaiknya membuang peralatan tersebut atau memperbaikinya secara profesional.

Ketiga, kurangkan penggunaan elektrik semasa ribut petir kerana sambaran petir adalah satu lagi cara yang boleh menyebabkan litar pintas.

Malah, ini adalah salah satu jenis senario litar pintas yang paling berbahaya, kerana arus dan voltan tinggi boleh menyebabkan kerosakan yang serius.

Malaysia sememangnya mempunyai kadar panahan petir antara tertinggi di dunia. Atas sebab ini, penggunaan peralatan elektrik pada tahap minimum semasa ribut petir adalah idea yang baik.

Ini akan membantu orang ramai mengelakkan litar pintas di samping mengehadkan kerosakan sekiranya lonjakan kuasa berlaku.

Keempat, lakukan penyelenggaraan pada pemutus litar. Setiap sistem elektrik rumah mempunyai perlindungan tetap terhadap litar pintas, yang dikenali sebagai pemutus litar.

Pemutus litar ialah komponen dalam panel elektrik yang dimatikan apabila arus elektrik tidak stabil. Penyelenggaraan yang kerap akan memastikan fungsi berpanjangan bagi pemutus litar.

Kita perlu memeriksa sebarang kerosakan pada pemutus litar, seperti keretakan atau pemasangan yang longgar.

Kita juga boleh menggunakan kain kering untuk membersihkan kotoran atau kesan lain yang terdapat pada pemutus litar untuk memastikannya sentiasa bersih.

Kelima, pemeriksaan sistem elektrik di rumah secara tahunan mampu mengurangkan risiko litar pintas.

Semasa pemeriksaan, orang kompeten boleh memeriksa sepenuhnya sistem untuk mengenal pasti isu yang mungkin menimbulkan potensi risiko untuk litar pintas dan masalah elektrik lain.

Selepas mengenal pasti risiko sedemikian, orang kompeten boleh menawarkan khidmat nasihat untuk tindakan terbaik bagi membetulkan sebarang masalah yang wujud. – UTUSAN

PROFESOR IR. DR. MOHD. ZAINAL ABIDIN AB. KADIR, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya