Libatkan IPT, masyarakat, industri dalam transformasi

Libatkan IPT, masyarakat, industri dalam transformasi

KERJASAMA institusi pengajian tinggi (IPT), masyarakat dan industri dapat membantu membawa perubahan besar dalam transformasi sektor kesihatan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN perkhidmatan kesihatan awam negara diiktiraf antara yang terbaik di dunia, namun ramai yang masih kurang berpuas hati akibat kesesakan di premis-premis kesihatan awam dan masa menunggu lama bagi setengah-setengah perkhidmatan yang diperlukan. Ini ditambah pula dengan keresahan dan kerisauan dalam kalangan petugas dengan beban kerja tinggi, laluan kerjaya yang dianggap samar di peringkat awal kerjaya dan status kontrak.

Merancang perubahan bermakna satu cabaran besar, lebih-lebih lagi dalam konteks suasana ekonomi global yang tidak menentu serta ancaman wabak dan beban penyakit yang pelbagai masih wujud.

Pengukuhan sistem kesihatan kebangsaan mesti sentiasa melibatkan aktiviti promosi kesihatan di samping menambah baik fasiliti dan perkhidmatan. Ia bukanlah setakat kempen kesedaran besar-besaran penuh gemilang tetapi menjurus kepada aktivitiaktiviti yang membantu meningkatkan keupayaan diri dan keluarga bagi kawalan kendiri serta perubahan kelakuan untuk meningkatkan taraf kesihatan.

Sektor pendidikan tinggi awam dan swasta mampu membantu dalam usaha murni ini, atas semangat kerjasama dan kebertanggungjawaban bersama. Ini kerana mereka sudah lama terlibat dalam mempromosi kesihatan sejak 2018 melalui Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan (HePiLI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Semasa wabak pandemik Covid-19, hospital-hospital pengajar banyak melakukan aktiviti promosi dan literasi kesihatan bagi pihak awam, di samping turun padang meluaskan capaian akses vaksinasi dan rawatan. Malah, ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya universiti awam sehingga ke hari ini.

Terdapat keperluan untuk melihat perspektif yang meluas dalam penstrukturan semula sistem kesihatan kebangsaan yang menggambarkan pengurusan penyakit dalam bentuk model sosioekologikal. Di sinilah potensi kepakaran ilmu dan kewibawaan pemikir-pemikir tempatan digarap dengan berkesan agar perubahan yang terjadi menzahirkan hasrat masyarakat madani yang sama-sama dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

Kerjasama dengan pihak industri dan sektor sivil amatlah dialu-alukan, lagi-lagi dalam suasana perkembangan minat pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Setelah berjaya melalui cabaran krisis berganda pandemik global dan kegoyahan ekonomi dunia serta kemelut politik kebangsaan, maka tidak mustahil cabaran besar untuk mengubah sektor kesihatan kebangsaan serta menggerakkan transformasi sosial kepada satu masyarakat madani yang sihat dari segala aspek akan juga dapat ditangani dengan iltizam dan semangat cekal semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

PROFESOR DATUK DR. HANAFIAH HARUNARASHID
Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur)
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN