Lebih baik laksana semula UPSR, PT3 - Utusan Malaysia

Lebih baik laksana semula UPSR, PT3

SISTEM pendidikan negara akan berhadapan dengan fasa sistem keempat menjelang 2025 iaitu pendigital pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai calon ke sekolah berasrama penuh (SBP) yang didakwa tidak berkualiti oleh guru kerana kemasukan hanya mengguna pakai Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) manakala pengambilan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pula melalui Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

Kerajaan sebelum ini memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula 2021 dan memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Bagaimanapun, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) diperkenalkan pada sesi persekolahan 2022/2023 bagi memperkukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan PBS.

Namun, ujian UASA tidak dijadikan penilaian untuk kemasukan murid ke SBP. Natijahnya, ujian PKSK dan UKKM hanya menilai murid untuk tinggal di asrama dan bukannya berorientasikan pencapaian akademik. Lebih parah lagi, modul ujian kemasukan murid ke SBP dan MRSM mudah diperoleh di media sosial semurah RM20.

Timbul persoalan, adakah cara ini satu jalan singkat untuk memasuki SBP tanpa melalui penilaian dan peperiksaan standard yang piawainya ditentukan pihak berwibawa iaitu Kementerian Pendidikan (KPM).

Semuanya perlu diteliti oleh KPM agar sistem pendidikan negara dapat mengukur prestasi pelajar dengan adil dan berkualiti setiap kali sesuatu peperiksaan awam dilaksanakan.

Bagi saya, KPM perlu mewujudkan semula UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) supaya segala kemahiran murid dapat dinilai secara standard, berwibawa, penuh konsisten dan seragam di seluruh negara dan dakwaan markah pencapaian murid boleh diubah suai tidak berlaku lagi.

Langkah ini penting supaya kualiti murid yang ingin memasuki SBP khususnya tidak dipertikaikan kerana telah melalui satu ujian penilaian dan pentaksiran berbentuk formatif dan sumatif yang seragam dan setara di seluruh negara iaitu UPSR untuk murid tahun enam dan PT3 untuk pelajar tingkatan tiga.

Ini kerana markah melalui pentaksiran PBD dan PBS yang dilaksanakan di peringkat sekolah boleh menimbulkan isu tidak boleh dipercayai dan sudah tentu akan timbul pelbagai tanggapan negatif seperti keputusan boleh diubah suai, campur tangan pentadbir, pejabat pelajaran daerah dan sebagainya.

Mengembalikan semula peperiksaan awam bukan bererti menghapuskan penilaian seperti PBD, PBS, UASA dan sebagainya. Penilaian tersebut perlu diteruskan, cuma di peringkat kebangsaan murid perlukan satu penilaian awam dan setara untuk memberikan keadilan kepada semua penuntut tidak kira bandar atau luar bandar.

Selain itu, dengan mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3, guru-guru mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas serta tahu kegagalan dan kejayaan hasil modul pengajaran yang dilaksanakan.

Ini kerana, kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah saling bergantungan antara guru serta murid. Jika kedua-duanya mempunyai hala tuju jelas dan matlamat yang boleh diukur melalui peperiksaan awam, maka kualiti semua murid boleh dipertingkatkan terutama dalam pemilihan murid untuk kemasukan ke SBP. – UTUSAN

BAPA PELAJAR, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya