Jangan pelik ada orang yang tidak sambut hari raya - Utusan Malaysia

Jangan pelik ada orang yang tidak sambut hari raya

BAGI sesetengah individu, kedatangan 1 Syawal bukanlah sesuatu yang menggembirakan. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBENARNYA ada individu yang kurang berminat atau mengelak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang baru berlalu kerana pelbagai sebab peribadi. Bagi mereka kedatangan 1 Syawal bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Ada yang risau berkenaan keadaan kewangan mereka untuk menyambut hari raya dan hidup selepas lebaran nanti. Ada pula yang tinggal jauh dan terpaksa bekerja semasa musim perayaan. Mereka gusar untuk menyambutnya sendirian dan bagaimana ahli keluarga mereka bakal menyambut hari raya tanpa mereka.

Ada juga yang masih berusaha mengatasi trauma yang melanda mereka, terutamanya berkaitan kehilangan orang tersayang. Musim perayaan sebegini kadangkala mengingatkan mereka tentang hal ini dengan lebih mendalam.

Dan tidak lupa juga ada yang trauma menyambut hari raya kesan daripada hubungan yang tidak harmoni bersama ahli keluarga lain, penceraian, penderaan dan penganiayaan atau kerana mereka tidak pernah mempunyai keluarga langsung semenjak kecil.

Selain itu, terdapat juga segelintir daripada mereka yang mengalami rasa sunyi dan merasakan dunia sukar untuk menerima mereka. Malah, ada yang tidak berminat langsung untuk menyambut apa-apa perayaan pun.

Semua situasi ini membuatkan mereka berasa gusar, sedih dan tidak selesa menjelang 1 Syawal. Malah ada yang seboleh mungkin mahu mengelak sambutan lebaran ini dan sanggup melakukan perkara lain seperti bercuti ke destinasi peranginan atau sekadar duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa.

Justeru, adakah baik dan bijak untuk memaksa mereka ini untuk terus mengikut ‘acuan’ kita yang hanya melihat sambutan perayaan dalam ruang lingkup kebahagian dan kegembiraan semata-mata?

Sebenarnya banyak yang boleh kita lakukan bagi membuatkan perasaan mereka lebih baik dan selesa. Mulakan dengan memahami bahawa hari raya mempunyai makna yang berlainan bagi setiap orang.

Ia tidak mempunyai maksud yang sama buat semua. Kegembiraan buat kita, mungkin mendatangkan sejuta rasa yang lain bagi orang-orang di sekitar kita.

Kita juga boleh membantu mereka untuk memahami bahawa seseorang itu tidak keseorangan di dalam menghadapi situasi sukar dalam hidup. Yakinkan juga mereka bahawa adalah normal dan biasa untuk merasakan perasaan yang sukar pada bila-bila masa pun, sama ada hari raya ataupun tidak.

Selain itu, kita juga boleh bertanya kepada mereka bagaimana kita boleh membantu bagi menjadikan keadaan dan perasaan mereka lebih baik, tanpa perlu memaksakan cara kita bergembira dan berbahagia kepada mereka yang mungkin hanya menambah kelukaan di hati mereka.

Dalam pada itu, kita juga harus selalu ingat bahawa mereka ini bukan cuba untuk merosakkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri kita semua. Tidak ada sesiapa pun yang mahu menyusahkan orang lain di dunia ini, mereka cuma mahu dihormati dan didengari.

Sepanjang Syawal ini, sifat empati dan bersimpati tidak hanya harus ditunjukkan secara material kepada mereka yang miskin dan tidak mampu sahaja. Kita juga boleh berempati kepada mereka yang sedang berdepan kesukaran emosi dan perasaan.

Hormatilah apa yang mereka rasa dan biarlah mereka merasakan apa yang mereka mahu rasa pada perayaan apa sekalipun. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN