Jangan boros tunjuk kemewahan palsu

Jangan boros tunjuk kemewahan palsu

MUNGKIN ada dalam kalangan kita tidak sanggup melihat baki simpanan akaun bank selepas berakhir Syawal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN keadaan ekonomi negara kelihatan agak suram, namun saya yakin kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang Syawal yang baru sahaja berakhir tidak pudar bahkan tetap meriah.

Baju raya, juadah seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya, perabot dan perhiasan rumah serta sedikit peruntukan untuk duit raya adalah antara perkara biasa difikirkan dan disediakan perbelanjaannya.

Itu tidak termasuk sesetengah suami yang memenuhi permintaan setahun sekali isteri untuk memiliki gelang emas sampai ke lengan. Begitu juga trend terkini sewaan kereta mewah untuk dipandu pulang ke kampung, menunjuk-nunjuk kepada saudara-mara akan ‘kemewahan palsu’ kita.

Kalau teratur dan terkawal perbelanjaannya, maka kita akan tersenyum sampai ke telinga. Tapi sebaliknya, andai perbelanjaan melebihi batasannya, maka bersedialah menanggung hutang semata-mata hendak nampak bergaya dan lebih daripada orang lain.

Tahniah diucapkan kepada anda yang tahu kewajaran berbelanja sebelum, semasa dan selepas musim perayaan ini. Anda pasti antara orang yang telah membuat perancangan berbulan-bulan lamanya demi memastikan wang yang dibelanjakan sentiasa berhemat, terkawal dan tidak dibelanjakan secara semberono.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak membuat perancangan rapi perbelanjaan terutama bagi fasa pasca perayaan ini? Cubalah congak baki wang simpanan sama ada cukup atau tidak untuk berbelanja selepas hari raya ini.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak sanggup melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi ini mungkin tidak akan menyenangkan hati. Jangan pula ada yang menyebut, “Anak-anak, abah dan ibu pinjam dulu raya ya?” Malu betul andai ini terjadi.

Bagi yang kelihatan ‘muflis’ selepas sambutan hari raya, ini mungkin satu bentuk ‘petunjuk’ daripada Allah SWT supaya pada masa hadapan anda lebih berhemat dalam berbelanja.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya