Hak istimewa Melayu tidak halang perpaduan - Utusan Malaysia

Hak istimewa Melayu tidak halang perpaduan

PENGHARGAAN terhadap kepelbagaian budaya dan agama merupakan sebahagian daripada elemen terpenting bagi memupuk perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FRASA perpaduan bermula dari rumah sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu merasmikan Minggu Perpaduan Negara baru-baru ini.

Perlu ada sifat saling memahami, menghormati dan menyokong sesama ahli keluarga kerana ini akan menjadi asas kepada perpaduan yang lebih besar khususnya dalam masyarakat atau negara.

Dalam konteks negara ini, pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang masyarakat juga merupakan sebahagian daripada elemen yang ada dalam nilai perpaduan.

Untuk memastikan kelestarian hubungan etnik yang sejahtera, pastinya nilai perpaduan perlu menjadi prinsip asas.

Sifat saling menghormati, toleransi dan kasih sayang antara masyarakat berbilang kaum merupakan aspek penting yang terkandung dalam nilai perpaduan ini dan menjadi asas ke arah mewujudkan bangsa Malaysia.

Semua etnik perlu saling menyesuaikan diri serta berinteraksi dengan selesa selaku rakan kongsi dalam proses pembangunan negara. Setiap ruang masa dan kesempatan yang ada perlu digunakan dengan terbaik melalui platform hubungan atau interaksi yang dimilikinya.

Dalam hal ini, mungkin hubungan sesama manusia ini agak sukar dipupuk berbanding hubungan lain termasuk alam sekitar.

Hubungan sesama manusia akan kelihatan menjadi lebih kompleks dalam kehidupan negara yang memiliki masyarakat pelbagai etnik dan berbilang bangsa dan agama.

Dalam persoalan hubungan kepelbagaian etnik ini, Islam menekankan persamaan sesama manusia. Hak asasi manusia ditonjolkan dalam bentuk kesucian kehidupan manusia yang dilihat sebagai insan mulia.

Hak untuk hidup serta meneruskan kehidupan merupakan hak asasi setiap manusia. Hak tersebut tidak langsung terjejas dek perbezaan pegangan agama dianuti, bangsa atau keturunan dimiliki, malahan golongan minoriti sekalipun dalam sesebuah negara.

Islam melihat semua manusia, biar dari mana asal mahupun keturunan adalah sama di sisi Yang Mencipta.

Dalam pada itu, ada pihak berpendapat, langkah memupuk perpaduan menjadi sukar kerana adanya kedudukan istimewa orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya perkara itu tidak bercanggah dan bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesamarataan dalam Islam.

Ini kerana walaupun orang Melayu mendapat keistimewaan, namun ia bukan melalui rampasan kuasa atau harta daripada etnik Cina atau India.

Hak keistimewaan orang Melayu tidak langsung menjejaskan kedudukan ekonomi dan pendidikan serta politik etnik Cina dan India, malahan dalam sektor ekonomi dan pendidikan, mereka lebih baik.

Kedudukan istimewa etnik Melayu adalah sesuatu yang telah wujud sebelum merdeka, menjadi unsur tradisi terpenting untuk dikekalkan kerana inilah yang akan memperlihatkan bahawa adanya hari ini adalah kerana semalam.

Jelaslah di sini, nilai perpaduan perlu terus disuburkan kerana ia adalah aset terpenting negara. Tanpanya tidak mungkin Malaysia akan menikmati keamanan dan kedamaian. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. RATNA ROSHIDA AB. RAZAK, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.