Cukup doa ikhlas buat guru - Utusan Malaysia

Cukup doa ikhlas buat guru

SENTIASA ucap terima kasih kepada guru yang telah menyampaikan pengetahuan mereka kepada kita. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAMBUTAN Hari Guru 2023 baru sahaja disambut pada 16 Mei lalu. Guru, ustaz, ustazah, pensyarah dan profesor meskipun perkataan yang berbeza ejaannya, namun mereka menggalas tanggungjawab yang sama iaitu membakar diri demi menerangi orang lain.

Mereka umpama nakhoda yang membawa kita berlayar mencari pengetahuan, membantu kita dan berfikir dengan kreatif serta membentuk masa hadapan anak bangsa yang lebih baik.

Sebagai pelajar, ungkapan rasa terima kasih kita yang tulus kepada mereka perlu kita zahirkan bukan dengan pemberian hadiah pada hari guru, tetapi cukup dengan segulung kejayaan dan doa ikhlas daripada pelajar buat para pendidiknya.

Guru adalah orang yang berkorban masa dan kehidupannya semata-mata untuk memastikan ilmu yang dikongsi sampai kepada kita. Mereka memberi dan berkongsi pengetahuan dengan penuh semangat dan kesabaran.

Terima kasih kepada guru yang telah menyampaikan pengetahuan mereka kepada kita, yang telah memperkenalkan gerbang dunia yang luas melalui pelajaran yang diajarkan.

Selain memberikan pengetahuan, guru turut sama menggalas tanggungjawab dalam mendukung pertumbuhan dan perkembangan peribadi selepas kedua ibu dan bapa kita sendiri yang merupakan ‘guru pertama’ di rumah.

Mereka adalah insan yang dapat melihat potensi terbaik dalam diri kita dan sentiasa memberi motivasi untuk kita mencapai semua impian melalui bakat yang ada.

Guru memberikan bimbingan dan membantu kita terus ke hadapan menjadi individu yang lebih baik, walaupun kadangkala guru turut memberi teguran terhadap apa yang sedang kita lakukan.

Pastinya ia disebabkan sesuatu yang mungkin terdapat keburukan atau kesilapan yang tidak kita sedari. Bersyukurlah kerana masih ada insan yang Tuhan hadirkan untuk menegur kesilapan kita, kerana jika sudah tiada seorang pun insan seperti ini, pastinya kita akan terus leka dengan kesilapan yang sedang kita lakukan.

Terima kasih kepada guru yang telah mendukung dan menggerakkan kita dalam setiap langkah perjalanan kita, yang telah memberikan dorongan dan keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa pun yang kita impikan.

Selain sebagai penyampai pengetahuan, guru juga mempunyai peranan seperti ibu bapa kedua kepada para pelajar dalam membentuk karakter dan nilai-nilai diri kita.

Mereka menjadi insan yang sentiasa memberi teladan yang boleh dijadikan sumber inspirasi, mengajar tentang integriti, etika kerja, rasa hormat dan nilai-nilai moral yang penting dalam kehidupan.

Guru mengajar kita untuk berfikir dengan kreatif, bersifat empati sesama insan dan menjadi seorang yang bertanggungjawab. Terima kasih kepada guru yang telah berkorban waktu dan sedaya upaya mereka untuk membantu kita sentiasa menjadi individu yang berkualiti dan memiliki sifat-sifat positif untuk dimanfaatkan kepada masyarakat suatu hari nanti.

Hormatilah para guru di mana pun jua mereka berada bukan hanya di dalam kelas semata-mata. Susunlah tutur bicara kita para pelajar sebaiknya umpama tutur bicara bersama kedua ibu bapa ketika berkomunikasi dengan mereka baik secara dalam talian ataupun di bumi yang nyata.

Guru adalah pahlawan yang tidak terlihat dari segi penampilan pemakaian seharian mereka. Kita sememangnya tidak pernah nampak mereka dengan keris, tanjak mahupun lembing sepanjang bergelar pahlawan. Oleh itu, jangan pernah kita lupa untuk mengungkap rasa terima kasih yang tulus kepada guru-guru kita. – UTUSAN

NURULISYAZILA OTHAMAN, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya