Bergembira jangan sampai lupa orang susah - Utusan Malaysia

Bergembira jangan sampai lupa orang susah

JANGAN sesekali dilupakan tentang saudara-saudara kita yang nasib mereka tidak sebaik kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 22 April lalu, umat Islam di Malaysia telah menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah, bermula dengan solat sunat hari raya dan diteruskan dengan kunjung-mengunjungi serta ziarah-menziarahi antara satu sama lain demi mengeratkan lagi persaudaraan antara kita.

Setelah genap 30 hari kita berpuasa di bulan Ramadan, maka telah tiba masanya untuk kita merayakan satu hari yang melambangkan kejayaan kita untuk mengekang hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Namun, pada masa kita bergembira dengan kehadiran Syawal ini, jangan sesekali dilupakan tentang saudara-saudara kita yang nasib mereka tidak sebaik kita.

Saudara-saudara kita yang di bulan lain selain Ramadan pun, lapar dan dahaga adalah sebahagian daripada inti sari kehidupan mereka. Kedatangan Hari Raya Aidilfitri bagi mereka, hanyalah satu hari sepertimana hari-hari lain.

Marilah kita sama-sama melihat di sekeliling, apakah ada dalam kalangan saudara-mara atau sahabat kita yang berada dalam situasi sedemikian dan kita hulurkan tangan semampunya, untuk mereka turut sama dapat merasakan kemeriahan sambutan Syawal ini.

Dalam pada itu, jangan kita lupa pada perjuangan golongan marhaen yang memerlukan sokongan dan dukungan dari semua pihak. Isu-isu penindasan pekerja, perumahan rakyat, kos sara hidup dan bekalan asas kepada rakyat, masih perlu dan wajib kita perjuangkan demi memastikan keadilan sosial dapat dicapai di tanah air kita ini.

Kita sering mendengar tentang keluh-kesah akibat masalah-masalah yang rakyat hadapi saban waktu. Sebagai sebahagian dari ahli masyarakat, marilah kita sama-sama menjadi cakna dengan permasalahan ini, dengan membuang sedikit sifat ego, pentingkan diri dan tidak peduli kita.

Ini supaya kita dapat memainkan peranan yang lebih baik sebagai sebahagian daripada rakyat yang impikan perubahan ke arah yang lebih baik untuk semua. – UTUSAN

WAN ZAMZAHIDI WAN ZAHID, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN