Redum

Redum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGI redum. Sujak memandu perlahan, melintasi rumah-rumah kampung yang mengimbau kembali kenangan di kampung halaman di Tanjong Karang. Rumah-rumah kayu, beratap zink atau genting lama, bertiang tinggi dan bercat kuning air atau merah bata. Pekarangan rumah ditanam dengan pohon-pohon buah-buahan.

Jika di Tanjong Karang, pohon mempelam, nangka dan kuini yang paling banyak. Di Kampung Serigala, Kampung Gesir dan Kampung Lalang di Hulu Selangor ini, durian, manggis, rambutan dan cempedak. Suasana begitu nyaman dan sejuk. Apatah lagi dengan halaman luas berumput.

“Jumpa saya di Gesir.”

Kenapa begitu jauh. Mahu menjejak serigala atau harimau jadian? Sujak membelok masuk ke Kampung Lalang. Mendaki jalan ke hujung gun.

Kelihatan sebuah rumah kecil, ala-ala cottage yang terpelihara, mungkin dijadikan inap desa berhampiran sungai kecil dan bertebing tinggi dengan batu-batu terjal. Airnya jernih, boleh dilihat kilas ikan putih berkejaran mungkin terganggu dengan bayang-bayang kereta atas jambatan besi itu.

“Sujak!” Panggilan dari dalam rumah kecil berlangsir jarang itu. Suara yang sangat Sujak kenali, sudah beberapa kali bertemu dan pertemuan kali ini lewat pesanan ringkas yang dihantar awal Subuh tadi.

“Ada perkara sangat penting hendak bincang.”

Tentulah penting kerana begitulah sifat wanita. Segalanya penting. Pada lelaki hal kecil, pada wanita hal besar. Pada lelaki boleh esok-esok, pada wanita sesegera mungkin.

Kereta betul-betul berhenti di bawah sepohon nangka. Ada banyak buah. Semuanya berbungkus dengan anyaman daun kelapa. Ada yang masih baharu, ada yang sudah kering. Ada yang rapat, ada yang sudah jarang-jarang menonjolkan buncit nangka membengkak. Kuning dan sudah berbau wangi. Tentu sudah masak.

Siapa yang mahu makan, mestilah sanggup bergetah tangan. Sepiring minyak masak sudah mencukupi, celup tangan sebelum menyiang isi nangka.

“Itulah lelaki, lebih tertarik kepada makanan walaupun ada wanita cantik di depannya,” gerutu Kathy. Wajahnya mencuka.

Dengan buah nangka pun wanita boleh cemburu? Tentulah, buah nangka boleh dipegang, boleh dimakan. Awak tidak. Sujak memecat kasut dan melangkah ke dalam rumah kecil itu.

“Siti, mahu saya angkat air?” Tegur seorang wanita kampung di dalam.

Kathy angguk dan wanita itu menghilang ke dapur. Sujak ingin bertanya tetapi Kathy terlebih dahulu membuka mulut.

“Orang kampung ini panggil saya Siti, orang Arab. Mereka tidak tahu latar belakang saya. Saya rahsiakan. Saya katakan yang saya isteri kedua awak.”

Terasa darah menyerbu ke muka. Sujak tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

“Awak jangan main-main, orang kampung ini ramai yang kenal saya,” gerutu Sujak, pura-pura marah.

“Saya tahu sebab itulah saya katakan begitu.”

“Awak jadikan saya cagaran.”

“Apa sahaja, asalkan saya selamat,” putus Kathy. Tetap dan tegas. Begitulah sifatnya. Sifatnya untuk menyelamatkan diri. Patutlah bangsanya kekal dan kuat sehingga kini.

“Bagaimana kalau polis tahu?” Dia bimbang. Dalam diam Sujak yakin polis tak akan tahu.

Kathy pun memasuki negara ini dengan dokumen perjalanan yang sah. Ada sahaja negara kedua yang memberikan passport. Kini dia mengaku pula orang Arab.

Di mata orang Malaysia, orang Arab Jordan, Lubnan mahu pun Palestina tidak jauh bezanya. Tidak nampak sebarang cacat celanya.

“Letak sini ya,” suruh Kathy sebaik sahaja pembantunya keluar dengan dua kotak laban.

“Kalau tak ada apa-apa, awak boleh balik.” Angguk dan berlalu semula ke dapur.

“Saya mahu berdua-duaan sahaja dengan suami saya,” kata Kathy lagi dengan sengaja dikuatkan.

“Sekarang, apa perkara penting yang awak mahu beritahu?” Tanya Sujak.

Laban memang minuman orang Arab yang dipercayai menyejukkan badan. Sekarang sudah banyak dijual di bandar-bandar besar sejak

penghijrahan orang Timur Tengah ke negara ini akibat perang.

Pada awalnya orang Syria dan diikuti orang Iraq. Kini tempat-tempat seperti Cyberjaya dan Bukit Bintang dipenuhi dengan kedai-kedai makanan Arab. Para penghijrah itu bukan orang yang susah, sebaliknya hartawan yang lari dari perang.

Orang miskin akan menunggu dengan reda. Tidak berkeupayaan pun mahu menyeberangi sempadan. Teringat cerita orang dahulu ketika negara ini disinggahi pelarian perang Vietnam. Pelarian itu datang berbekalkan emas.

Kathy tersenyum dan kemudian menuturkan bait-bait puisi Jalal al-Din Rumi dalam bahasa asalnya, Parsi.

Melihat Sujak ternganga, dia tertawa dan menuturkan terjemahan Melayunya.

Mana Pergi Kekasih Kacak Itu?

Aku tertanya-tanya, ke mana perginya pohon cemara yang tinggi dan cantik itu?

Dia menyebarkan cahaya di antara kita seperti lilin.

Ke mana dia pergi? Sungguh pelik, ke mana dia pergi tanpaku?

Sepanjang hari hatiku bergetar seperti daun.

 

Sendirian di tengah malam, ke mana perginya kekasih itu?

Pergi ke jalan, dan tanya mana-mana pengembara yang lalu –

Sahabat yang menggugah jiwa itu, ke mana dia pergi?

Pergi ke taman, dan tanya tukang kebun -  mawar yang tinggi dan cantik itu, ke mana dia pergi?

Pergi ke atas bumbung, dan tanya kepada penjaga –

Sultan yang unik itu, ke mana dia pergi?

Seperti orang gila, mencari di padang rumput!

Rusa di padang rumput itu, ke mana dia pergi?

Air mata mengalir seperti sungai –

Mutiara di lautan luas itu, ke mana dia pergi?

Sepanjang malam, memohon kedua-dua, bulan dan Kejora –

Wajah cantik itu, seperti bulan, ke mana dia pergi?

Jika dia milikku, kenapa dia bersama orang lain?

Memandangkan dia tiada di sini, ke sana mana dia pergi?

Jika hati dan jiwanya bersatu dengan Tuhan,

Dan dia meninggalkan alam, tanah dan air ini, ke mana dia pergi?

Beritahu dengan jelas, Syams Tabriz,

Mengenai siapa dikatakan, “Matahari tidak pernah mati” – ke mana dia pergi?

Kathy bukan pelarian. Namun dia membawa cek kosong yang boleh sahaja diletakkan berapa nombor kosong yang dimahukannya.

Kerjanya selama ini mengagihkan upahan.

“Itu dana,” Kathy membetulkan.

Sujak menggeleng. “Itu berbahasa. Yang lebih tepat sememangnya upahan.”

Kathy mengingat-ingat, entah bagaimana dia rapat dengan Sujak. Bila dia memerlukan lelaki itu, dia akan datang. Memaksa Sujak hadir.

Menemani berbulan panjang. Dia tahu mana Sujak berada, apa Sujak buat.

“Awak pengintip,” getus Sujak.

“Tidak. Saya hanya peminat burung,” balas Kathy.

“Bagaimana boleh begitu?” Peminat burung dengan binocular, mencari burung di balik rimbunan dedaun. Melihat bagaimana ia datang, makan dan mengawan. “Bukankah itu pengintip juga?” Tanya Sujak lagi.

“Sama tetapi berlainan subjek. Saya peminat burung yang memberi burung makan. Dana. Apa Yang diperlukan. Apa yang menyokong kepentingan,” terang Kathy.

“Contoh? Beri dana kepada pihak yang menyokong October fest?” Desak Sujak.

Kali ini Kathy geleng. “Itu pemikiran di dalam kotak. Pemikiran di luar kotak, beri dana kepada yang menentang. Biar berlembut, atau mengendurkan penentangan mengikut masa. Isu yang lama akan basi, orang tidak kisah,” terang Kathy.

Kerjanya itu memakan diri. “Seolah menjadi kewajiban menyediakan dana. “Tanpa sokongan dana, parti tidak boleh bergerak. Tanpa dana…”

Pantas Sujak memotong, “bukan dana tetapi upahan…” Kathy menarik nafas panjang, “ya upahan.

Tanpa upahan, parti akan memainkan isu lebih tegas. Akan memenangi hati pengundi di PRU dan akan memerintah.

“Kita tidak mahu golongan kanan yang ekstrim ini memerintah, akan menguncup perdagangan.” Sujak menurunkan kaca matanya dan diletakkan atas meja sisi.

“Golongan ini tidak mahu memerintah. Berat. Tidak tahu memerintah dan tidak mahu mengulangi lagi. Serik. Hanya mahu upahan sahaja.”

“Sebab itu saya panggil awak…” ujar Kathy. “Sebab saya perlu menghilang. Sebab golongan itu sekarang benar-benar terjepit.”
Sujak ketawa.

“Jangan beritahu apa-apa rahsia kepada saya. Jangan. Saya pelupa. Jangan serahkan juga apa-apa lebihan upahan, AMLA akan mengejar sehingga ke lubang cacing. Tidak ada yang terlepas.”

“Esok saya akan pergi, bolehkah awak bermalam di sini? Separuh malam sekurang-kurangnya…” Kathy mengharap, merenung matanya sambil menggigit bibir.

Rumah kecil itu bukan sekadar rumah kayu kampung tetapi rumah yang dibeli atas namanya.

Jika dinilai tanah dusun, Sujak tidak berkemampuan sama sekali. Rumah ini akan terjaga, biaya penjaganya akan terus-terusan dibayar.

Hanya sesekali Sujak perlu menjenguk, untuk mengabui mata sekeliling yang rumah itu milik isteri keduanya. Mengimbau kenangan ketika masih bersama.

“Penerima upahan akan mencari saya, jangan terkejut sebab perwatakan warak tidak melambangkan yang sebenar. Tak usah ambil tahu,” pesan Kathy, Sujak ingat betul.

Dan benarlah, seorang lelaki berserban muncul yang memperkenalkan diri wakil parti.

“Jangan lupa, siapa yang menubuhkan parti itu.

“Dan jangan lupa, di tanah Palestina siapa yang menubuhkan dan mula-mula membiayai pejuang Palestina.”

Kathy akan hadir lagi dalam hidup Sujak, namun dia akan memilih waktunya. Mungkin setahun.

Mungkin beberapa tahun. Mengenang bait-bait puisi Jalal al-Din Rumi – Ke manakah dia pergi? Petang redum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN