SAUDARA PENGARANG,
SAYA merupakan salah seorang penduduk di Taman Pusing Delima, Batu Gajah, Perak kini berdepan masalah anjing-anjing liar sehingga menyebabkan ketakutan dalam kalangan kami.
Kumpulan anjing yang berkeliaran mula menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat. Kami risau jika anjing-anjing ini bertindak mengancam keselamatan penduduk (serangan anjing), meninggalkan kesan najis dan menyebarkan wabak penyakit seperti anjing gila (rabies).
Beberapa penduduk difahamkan sudah beberapa kali membuat aduan berkenaan isu ini, namun tidak mendapat apa-apa respons daripada pihak berwajib. Mungkin kerana tidak sampai lima peratus penduduk sahaja mengadu masalah ini. Justeru, isu ini dianggap biasa dan kurang serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Difahamkan ada dalam kalangan penduduk di sini memberi makan kepada anjing-anjing itu liar sehingga menyebabkan bilangan haiwan tersebut makin bertambah.
Sehubungan itu, saya berharap ada tindakan segera daripada PBT kerana kedatangan anjing liar mengganggu ketenteraman penduduk selain bahaya untuk kanak-kanak.
Sehingga kini masih tiada lagi kes penduduk cedera dikejar atau digigit anjing.
Adakah PBT mahu tunggu ada kes baharu nak ambil tindakan serius?
Justeru, MDBG perlu mengambil tindakan segera keran makin lama dibiarkan dikhuatiri boleh menyebabkan bilangan anjing ini bertambah.
Saya juga amat berharap PBT melakukan tindakan susulan sama ada menangkap ataupun membasmi kewujudan anjing liar, sekali gus menghilangkan keresahan penduduk taman ini.-UTUSAN
PENDUDUK RISAU
Batu Gajah, Perak