TVET mampu atasi masalah pengangguran - Utusan Malaysia

TVET mampu atasi masalah pengangguran

PROGRAM TVET tidak mendapat sambutan apabila 70 peratus calon ditawarkan menolak tawaran tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIDAKSEPADANAN kemahiran dan ketidaksesuaian kelayakan dengan keperluan industri mempunyai hubungan dengan kadar pengangguran. Data menunjukkan pada 2022, kadar pengangguran di negara kita mencapai 3.6%.

Peningkatan tahap pendidikan di negara ini telah meningkatkan bilangan graduan, tetapi terdapat ketidaksepadanan kemahiran yang sesuai dengan keperluan pasaran kerja telah menyumbang kepada kadar pengangguran.

Kerajaan dan industri telah bekerjasama untuk memperbaiki situasi ini dengan meningkatkan dan mewujudkan program latihan yang lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Antara program kerjasama yang telah dan sedang dijalankan antaranya program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk belia dan graduan yang sedang mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, ini memerlukan kerjasama lebih menyeluruh, mampan dan berterusan dalam kalangan pelbagai pihak termasuk sekolah, universiti, institusi latihan vokasional dan industri.

Dalam pada itu, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menangani pengangguran dan ketidaksepadanan kemahiran.

Oleh itu, kerjasama antara agensi kerajaan dan industri sangat penting dalam memperkuatkan program TVET dan memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran.

Kerjasama dengan industri seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini bagi pelaksanaan TVET adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah pengangguran belia.

Walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang telah diumumkan kerajaan, kerjasama antara pihak pemerintah dan industri dalam bidang TVET masih perlu ditingkatkan.

Pihak industri seharusnya lebih terlibat dalam memperkukuhkan kurikulum dan silibus TVET. Industri juga perlu memberi sokongan dalam penyediaan kemudahan dan infrastruktur di institusi latihan seperti menawarkan peralatan dan teknologi terkini untuk pengajaran dan pembelajaran.

Langkah sedemikian akan membolehkan syarikat dan industri memperoleh tenaga kerja yang berkualiti dan terlatih mengikut keperluan mereka. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD & PROFESOR DR. ABDUL TALIB BON, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya