Tidak semestinya sama rata itu adil - Utusan Malaysia

Tidak semestinya sama rata itu adil

ORANG Melayu perlu bersatu supaya boleh kita pastikan anak cucu mendapat keadilan yang sepatutnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTANDINGAN bola sepak yang menawarkan hadiah lumayan dianjurkan. Atas dasar keterbukaan dan sama rata, sesiapa pun boleh bertanding, kerana ia tidak dikhaskan kepada satu kumpulan tertentu sahaja.

Contohnya, berlaku pertembungan antara pasukan bola sepak Pemuda Tualang Sekah (PTS) dan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Jika PTS dikalahkan oleh JDT dengan keputusan 1-2, kita boleh menganggap pertandingan ini adalah seimbang dan ia perlawanan bola sepak yang adil.

Namun hakikatnya, JDT mempunyai sumber kewangan banyak dan kemudahan stadium untuk latihan, sementara PTS hanya mampu berlatih di padang sekolah.

Sudah pasti kemampuan JDT untuk menewaskan PTS adalah dengan keputusan 10-0 atau mungkin lebih lagi. Kesimpulannya, sama rata di dalam konteks ini adalah tidak adil.

Kembali kita kepada realiti. Rangkaian bekalan bahan binaan, makanan, pengangkutan komersial dan lain-lain, rata-ratanya bukan di bawah kawalan orang Melayu.

Di dalam keadaan keterbukaan, sama rata dan merit, dapatkah usahawan Melayu bersaing dengan yang lain bagi menawarkan harga terbaik? Contohnya, untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Bagaimana anak-anak Melayu yang majoritinya dari luar bandar hendak bersaing dengan kaum lain yang kebanyakan tinggal di bandar-bandar yang ibu bapa berkemampuan untuk menghantar mereka ke pusat tuisyen yang banyak di situ?

Kebetulan baru-baru ini ada laporan mengatakan tajaan untuk pelajar perubatan di universiti tempatan dihentikan. Maka, berapa ramai anak bumiputera yang cerdik dan layak mampu mengikuti pengajian perubatan dengan belanja ibu bapa sendiri?

Kesamarataan, keterbukaan dan berdasarkan merit, memang nampak adil di mata mereka yang mempunyai kelebihan berbanding yang lain. Tetapi di dalam situasi Malaysia, ia tidak adil untuk orang Melayu dan bumiputera.

Oleh itu, orang Melayu perlu bersatu supaya boleh kita pastikan anak cucu mendapat keadilan yang sepatutnya untuk terus maju. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN