SEREMBAN: Lorong Seni Seremban di sini menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Lorong Seni Terpanjang di Malaysia.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin berkata, lorong seni sepanjang satu kilometer itu kini menghimpunkan sebanyak 50 lukisan mural dan projek itu telah bermula sejak tahun 2019.
“Lorong Seni Seremban dibangunkan berasaskan konsep ‘mengembalikan lorong kepada orang awam’ dengan menilai semula fungsi lorong belakang bukan sekadar laluan utiliti tetapi sebagai ruang awam yang selamat, selesa dan beridentitikan seni bandar.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memulihara bangunan warisan di pusat bandar malah berjaya menghidupkan semula aktiviti ekonomi setempat, menarik kehadiran pelancong serta memberi manfaat langsung kepada peniaga kecil khususnya di Benteng Walk dan Sungai Ujong Walk,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengiktirafan MBOR bagi Lorong Seni Terpanjang di Malaysia di sini semalam.
Masri berkata, selaras dengan status dan pengiktirafan itu, pihaknya akan melaksanakan penutupan penuh Lorong Seni Seremban kepada kenderaan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 12 tengah malam hingga 12 tengah hari berikutnya termasuk pada hari kelepasan am.
“Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan pengunjung, mengekalkan kualiti mural, mewujudkan persekitaran mesra pejalan kaki serta menyokong aktiviti seni, budaya dan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanyam Pasar Karat Lorong Seni Seremban juga kini beroperasi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
“Ia bagi memberi peluang kepada peniaga kecil dan penggiat seni memasarkan barangan antik, koleksi terpakai serta hasil seni tempatan,” katanya.-UTUSAN









