Tarik cukai SSPN ibarat bunuh anak Melayu

Tarik cukai SSPN ibarat bunuh anak Melayu

SKIM Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) membantu banyak golongan pertengahan dan rendah dalam memastikan pendidikan anak mereka terjamin sehingga ke menara gading.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI yang sudah diagak, akhirnya kerajaan mengumumkan juga penarikan semula pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 bagi pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bermula tahun ini selepas insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan itu bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Namun, pada 29 Mac lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pula bahawa kerajaan setuju melanjutkan pelepasan cukai tersebut sehingga 2024 selepas mendapat banyak maklum balas daripada rakyat.

Walaupun ada sedikit sinar namun masih merupakan satu pengumuman yang tidak disukai oleh golongan ibu bapa yang memilih cara menabung melalui SSPN untuk masa depan pendidikan anak terutama bagi keluarga yang sangat ‘terikat’ perbelanjaannya.

Tidakkah kerajaan hari ini sedar bahawa tabungan ini banyak membantu golongan B40 dan kurang mampu kerana mereka tidak mempunyai aliran tunai yang baik. Penarikan semula pelepasan cukai ini seolah membunuh masa depan anak Melayu untuk menyambung pengajian di menara gading.

Malah melalui cara ini dapat mengurangkan beban ibu bapa pada masa akan datang kerana wang yang disimpan melalui SSPN tidak akan digunakan sehingga anak melanjutkan pengajian.

Selain itu, tujuan lain ibu bapa menabung adalah bagi mengelakkan atau mengurangkan pinjaman wang pendidikan sama ada melalui PTPTN atau pihak lain yang akhirnya membebankan pelajar dengan hutang selepas tamat pengajian.
Sebagai pencarum, antara kelebihan lain selain pelepasan cukai adalah perlindungan insurans pada kadar yang amat mampu milik.

Justeru, apabila kerajaan menarik semula pelepasan cukai individu dengan pelbagai alasan, maka saya tidak nampak mengapa perlu lagi menabung melalui cara ini. Jauh lebih baik jika menabung di Amanah Saham Bumiputera (ASB) ataupun Tabung Haji. Cumanya, duit itu mudah dikeluarkan apabila diperlukan lebih-lebih lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meninggi.

Mana kata-kata ahli politik (yang ada juga dalam kerajaan hari ini) memperjuangkan nasib B40 semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Kenapa membisu dalam hal ini yang mana kita tahu tabungan ini banyak membantu rakyat terutama orang Melayu?-UTUSAN

NAZ KHALID
Bagan Serai, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN