Autistik vokasional terpinggir kerja

Autistik vokasional terpinggir kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, terdapat kira-kira 200 pelatih autistik vokasional yang dilahirkan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) di seluruh negara.

Bagaimanapun, hanya 10 peratus sahaja daripadanya yang diterima bekerja di syarikat dan premis.

Pengerusinya, Julian Wong berkata, situasi itu berpunca akibat diskriminasi terhadap golongan autistik yang masih lagi berleluasa hingga kini.

Sedangkan, mereka ini boleh bekerja dengan baik jika diberikan bimbingan, penyesuaian dan peluang yang sewajarnya.

“Namun, terdapat kekangan kerana sesetengah syarikat kurang yakin atau tidak memahami keupayaan belia autistik berfungsi tinggi.

“Sejujurnya, mereka bukan golongan yang cacat teruk dan masih mampu bekerja dengan baik, bezanya hanyalah dari segi tempoh kerja.

“Jika pekerja biasa bekerja selama lapan jam, mereka mungkin hanya mampu empat hingga lima jam sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran logo baharu NASOM oleh

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini.

Katanya, penyediaan latihan kepada belia autistik itu bertujuan membekalkan mereka dengan kemahiran hidup dan pekerjaan.

Antara latihan itu ialah pembuatan roti, penyediaan makanan, jahitan dan hidroponik.

 

Logo baharu
Sementara itu, Julian berkata, logo baharu NASOM menampilkan simbol infiniti yang mewakili neurodiversiti dengan penggunaan warna merah jambu, turquoise dan biru.

Rekaannya mencerminkan aspirasi pertubuhan itu untuk terus tampil dengan identiti yang lebih moden, segar, progresif serta seiring dengan perkembangan semasa.

“Pengenalan logo baharu ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi turut melambangkan evolusi perjalanan kita sebagai sebuah organisasi yang hampir empat dekad berkhidmat kepada komuniti autisme.

“Dalam masa sama, ia menzahirkan tekad berterusan kami untuk memperkukuhkan peranan sebagai peneraju perkhidmatan, sokongan dan advokasi autisme di Malaysia,” katanya.

NASOM yang ditubuhkan pada 3 Mac 1987 menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme melalui rangkaian perkhidmatan yang merangkumi program intervensi awal, intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN