SAUDARA PENGARANG,
PENINGKATAN kos sara hidup menjadi isu utama negara dengan kos makanan merupakan komponen utama. Dalam pada itu, negara sedang mengimport makanan bernilai RM65 bilion setahun. Soalannya, mengapa Malaysia tidak meningkatkan pengeluaran hasil makanan dalam negara?
Jawapannya mudah, tiada tanah untuk diusahakan. Tanah berstatus pertanian di pinggir bandar berharga ratusan ribu seekar, di pinggir kampung pula sudah mencecah RM100,000 seekar. Harga ini tidak munasabah untuk tujuan bercucuk tanam.
Tanah merupakan faktor terpenting dalam kebanyakkan pengusahaan pertanian dan ia tidak semestinya memerlukan teknologi canggih dan pelaburan besar. Lihat sahaja bagaimana negara menjadi pembekal utama bagi getah dan kelapa sawit. Oleh itu, setiap inci tanah pertanian harus digunakan untuk menjadikan Malaysia pengeksport bersih, bukannya pengimport bahan makanan.
Masalah ketiadaan tanah untuk pertanian berlaku sejak awal kemerdekaan lagi. Pada ttahun 50-an dan sepanjang abad tersebut Malaysia mendapatkan bekalan sayuran dan buah-buahan dari petani yang mengusahakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) kerajaan dan rizab kereta api. Pada hari ini kita mendapatkan bekalan tersebut dari China yang harganya tidak tercapai oleh kita. Berapa lama lagi kita mahu bergantung kepada negara tersebut?
Sebenarnya bukan tiada tanah tetapi tanah berada di tangan spekulator. Dasar pemberian TOL dalam beberapa segi diperhatikan lebih sesuai dari alienasi untuk memastikan pengeluaran pertanian berterusan. Yang menariknya, pada hari ini masih lagi terdapat pengusaha tanah TOL kerajaan berjaya dengan cemerlang menghasilkan produk pertanian sebegitu lama meminta geran tanah diberikan kepada mereka. Di satu sudut, mereka nampaknya tidak lagi berminat untuk bertani.
Justeru, langkah terbaik adalah menaikkan kadar cukai bagi tanah berstatus pertanian kepada tahap yang optimum supaya tanah-tanah tersebut dapat dibersihkan dari spekulasi dan dapat diperoleh oleh pengusaha tulen.
Kedua, mengezonkan tanah kawasan pertanian dan menetapkan syarat tanaman bagi setiap lot tanah. Contoh, seluruh daerah Perak Tengah dizonkan sebagai kawasan tanaman jagung. Ini akan memudahkan pejabat pertanian daerah menguruskan hanya satu jenis tanaman yang akan meningkatkan keupayaan dan kepakaran agensi tersebut.
Sementara di peringkat Persekutuan, penyemakan stok tanah pertanian dibuat serta membahagikan kepada zon mengikut jenis tanaman dengan mengambil kira keperluan negara.-UTUSAN
MOHAMED YUSUFF YAHYA
Batu Gajah, Perak