KUALA KRAI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai menangkap seekor anak harimau dahan selepas ‘menceroboh’ reban itik serati milik seorang penduduk di Kampung Sungai Mas, Bechah Salak, tengah malam semalam.
Kehadiran anak harimau itu disedari pemilik reban YANG menghubungi talian kecemasan pada pukul 12.27 tengah malam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Abd. Fatah Abd Aziz berkata, sejurus selepas menerima panggilan seramai empat anggota lain-lain pangkat dikerah dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati seekor anak harimau dahan berada di dalam reban itik.
“Anggota bertugas mengambil masa selama sembilan minit untuk menangkap anak harimau itu dan dimasukkan ke dalam sangkar sementara sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Krai,” katanya.
Abd. Fattah memberitahu, anak harimau dahan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN









