SAUDARA PENGARANG,
GAJET digunakan untuk mengabadikan kenangan di hari raya dengan merakam momen-momen indah dengan kamera atau video. Ia merupakan satu alat komunikasi penting yang mempunyai banyak kebaikan.
Namun, penggunaan gajet yang tidak terbendung boleh memberi kesan negatif kepada orang dewasa dan kanak-kanak iaitu enggan memberi kerjasama yang baik dan tidak mendengar kata apabila tidak mendapat akses kepada gajet. Kesan lain adalah apabila mereka tidak suka keluar rumah sebaliknya lebih rela terperuk di rumah bermain gajet. Secara tidak langsung wujud jurang interaksi sosial yang boleh merencatkan minat serta fokus terhadap ziarah raya dan pengasingan diri berlaku. Selain itu, ia turut mengganggu kefungsian sistem kesihatan tubuh badan kesan dari kehidupan yang tidak aktif dan pemakanan yang tidak sihat. Paling merisaukan permainan video yang ganas boleh menghasilkan kesan negatif terhadap tumbesaran anak dan dalam kalangan awal dewasa.
Justeru sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anda perlu memastikan anak mempunyai gaya hidup dan tabiat yang sihat termasuk tidak membenarkan menonton televisyen terlalu lama atau bermain komputer di hari raya. Pastikan anda menerangkan kepada mereka tentang peraturan yang dibuat.
Bagi memastikan penggunaan gajet dikurangkan, anda perlu memastikan aktiviti yang dirancang perlu melibatkan semua ahli keluarga supaya wujud perasaan dipunyai. Seterusnya melibatkan anak-anak anda dengan aktiviti ziarah. Ceritakan kepada mereka tentang susur galur keluarga supaya mereka teruja untuk bertemu sanak saudara. Aktiviti ziarah boleh menjadi satu medan untuk merapatkan ukhwah dan silaturrahim bukan sahaja untuk ahli keluarga tetapi juga sahabat handai dan jiran tetangga. Perkenalkan anak-anak anda kepada semua.
Berilah ganjaran dalam bentuk apapun mengikut kemampuan kerana ia secara tidak langsung memotivasikan ahli keluarga dalam usaha untuk mengenepikan atau mengurangkan penggunaan gajet atas usaha mereka sendiri. Tanpa sedar tindakan ini dapat mengurangkan ketagihan kepada gajet.
Akhirnya, adalah penting untuk memuji usaha ahli keluarga dan anak-anak apabila mereka berusaha mengutamakan aktiviti lain dari masa yang diluangkan di skrin. Memuji tingkah laku positif akan menggalakkan anak anda untuk terus melakukannya.-UTUSAN
DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Jabatan Psikologi dan Kaunseling Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya