Akta UiTM perlu dipinda untuk perkasa mahasiswa - Utusan Malaysia

Akta UiTM perlu dipinda untuk perkasa mahasiswa

PELAJAR universiti tetap perlu diterapkan dengan ilmu bersifat falsafah walaupun mungkin tidak relevan dengan kehendak industri dan pasaran buruh.

SAUDARA PENGARANG,

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah universiti awam terbesar di negara ini dengan 35 kampus cawangan dan hampir 180,000 mahasiswa adalah institusi yang melahirkan modal insan paling ramai.

Namun, bilangan yang ramai ini perlulah disusuli dengan kualiti terbaik bagi membantu memacu keperluan pertumbuhan pembangunan negara.

Selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perutusan tahun baharu 2023 yang meletakkan pemerkasaan mahasiswa sebagai antara 11 Aspirasi Fokus Hala Tuju Baharu kementerian itu, UiTM melihat agenda berkenaan amat bertepatan dengan usaha dilakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) universiti ini.

BHEP UiTM komited membantu mencapainya apabila bersedia berunding dengan kesemua wakil mahasiswa dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta seluruh kelab dan persatuan dalaman bagi mengetahui cadangan dan keperluan mereka.

Malah, BHEP mengamalkan sikap terbuka untuk mendengar dan menerima pandangan mereka.

Salah satu usaha pemerkasaan mahasiswa adalah dengan memberikan lebih banyak peranan, tanggungjawab serta ruang membuat keputusan yang secara tidak langsung memberi pengalaman penting dalam mengasah bakat memimpin dan meningkatkan keupayaan mereka menyelesaikan krisis dan masalah.

Dalam konteks ini, UiTM melihat ia boleh dilaksanakan secara dinamik mengikut keperluan dan kepentingan semasa.

Dalam masa sama memastikan mahasiswa dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk mengharungi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Justeru, pindaan peruntukan peraturan Akta UiTM 1976 perlu dilakukan bagi memperkukuhkan kedudukan mahasiswa dan memberikan lebih banyak kebebasan dan keupayaan untuk mereka menyumbang secara efektif kepada pembangunan negara.

Pindaan wajar dibuat setelah semua pandangan dan cadangan mahasiswa diambil perhatian. Antaranya, kebebasan dan hak untuk aktif berpersatuan, hal pengurusan kewangan, pemilihan MPP dan hak untuk berpolitik dalam kampus.

Sekiranya pindaan peruntukan peraturan ini dilaksanakan, pasti hasrat bagi memperkasakan mahasiswa dapat dicapai.

Bahkan, UiTM kebelakangan ini amat aktif dengan program kesukarelawanan, bukan sahaja dalam negara malah turut dilaksanakan di peringkat antarabangsa.

Aktiviti ini merupakan satu cara paling berkesan untuk mengembangkan kemahiran sosial, kepimpinan dan komunikasi mahasiswa.

Penglibatan mereka dalam aktiviti itu dilihat mampu memperluaskan jaringan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang berkaitan.

Pindaan akta tersebut juga mampu memperkukuhkan hak-hak mahasiswa sekiranya mereka dapat berpersatuan, hak kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

Ia memberikan mahasiswa UiTM lebih banyak ruang untuk mengeluarkan pendapat dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang mengukuhkan kedudukan mereka dalam masyarakat.

Peluang berkaitan dengan kepimpinan pelajar dalam pelbagai bidang seperti sukan, kebudayaan dan keusahawanan yang lebih banyak juga akan disediakan.

Selain itu, pindaan tersebut dapat memperkukuhkan peranan mahasiswa dalam pentadbiran universiti.

Mereka perlu diberi peluang mengambil bahagian dalam proses pembuat keputusan dengan memberikan pandangan dalam hal-hal berkaitan pengurusan universiti, selagi tidak bertentangan dalam tadbir urusnya.

Hal demikian akan membantu mengukuhkan hubungan mereka dengan pentadbiran universiti dan secara tidak langsung memastikan keperluan serta kehendak mahasiswa dapat diberikan perhatian sewajarnya. – UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD. SAZILI SHAHIBI, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN