WASHINGTON: Jabatan Kehakiman (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kini berdepan tekanan hebat susulan keputusan mereka menahan sebahagian besar dokumen berkaitan siasatan pemerdagangan seks Jeffrey Epstein daripada didedahkan kepada umum.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan personaliti media sayap kanan serta penyokong setia Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menuntut pendedahan penuh terhadap apa yang didakwa sebagai bukti konspirasi melibatkan golongan elit.
Ketegangan turut memuncak di White House minggu ini apabila Peguam Negara, Pam Bondi bertikam lidah dengan Timbalan Pengarah FBI, Dan Bongino.
Pertelingkahan itu dipercayai berpunca daripada laporan media yang mendedahkan perbalahan antara DOJ dan FBI berhubung pendedahan fail Epstein.
Keadaan menjadi lebih hangat apabila DOJ mengesahkan salah satu dokumen yang paling dikehendaki oleh penyokong teori konspirasi, iaitu senarai pelanggan Epstein sebenarnya tidak pernah wujud.
Kegagalan pihak berkuasa memenuhi janji untuk ‘membongkar rahsia’ yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Trump menyebabkan gerakan sayap kanan mula hilang sabar malah, ada yang menuntut perubahan kepimpinan dalam pasukan keselamatan negara.
Pada Isnin lalu, DOJ dan FBI mengeluarkan kenyataan dua muka surat memaklumkan Epstein tidak mempunyai senarai pelanggan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
Kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan Bondi pada Februari lalu yang pernah memberi bayangan seolah-olah senarai itu memang wujud dan berada di mejanya.
Pihak berkuasa juga menyiarkan satu rakaman video sebagai bukti Epstein membunuh diri di dalam penjara, tetapi rakaman itu menimbulkan lebih banyak persoalan apabila terdapat satu minit rakaman yang hilang, membakar lagi teori konspirasi dalam kalangan penyokong Trump.
Sebelum ini Bondi mendakwa menerima maklumat daripada sumber FBI terdapat ribuan halaman dokumen yang belum didedahkan, dan mengarahkan FBI menyerahkan fail Epstein sepenuhnya namun selepas siasatan berbulan-bulan, DOJ memutuskan tiada pendedahan lanjut akan dibuat.
DOJ memaklumkan sebahagian besar maklumat berkenaan telah disimpan di bawah perintah mahkamah bagi melindungi mangsa, dan hanya sebahagian kecil maklumat itu yang mungkin didedahkan sekiranya Epstein dibicarakan. -AGENSI










