Tidak perlu MRSM berbayar untuk anak orang kaya - Utusan Malaysia

Tidak perlu MRSM berbayar untuk anak orang kaya

MATLAMAT asal penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah untuk membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook meminta Mara Corporation Sdn. Bhd. memperhalusi cadangan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada.

Beliau berkata, ini kerana wujud permintaan oleh ibu bapa daripada golongan berkenaan yang berhasrat untuk menghantar anak mereka menyambung pelajaran ke situ.

Menurutnya, mereka sanggup menanggung kos yang tinggi untuk ke MRSM walaupun berkemampuan menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.

Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.

Sebenarnya cadangan ini perlu ditolak sekeras-kerasnya. Cadangan ini sangat mengejutkan kerana ia adalah satu kontradiksi besar dengan matlamat serta wawasan MRSM ditubuhkan.

Matlamat asal MRSM ditubuhkan adalah untuk membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) yang kurang mampu, bukan golongan kaya raya dan elit.

Sistem pendidikan MRSM digubal berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berpaksikan pembinaan karakter para pelajar supaya mereka menjadi insan cemerlang yang holistik, inovatif dan berintegriti.

MRSM berbayar untuk golongan elit hanya akan melebarkan jurang sosial antara golongan kaya dan miskin. Mewujudkan MRSM berbayar ini juga berkemungkinan besar akan menjadi titik permulaan untuk mengurangkan peruntukan kepada MRSM demi menswastakan sekolah berasrama penuh itu kelak.

Perlu diingatkan, cadangan mewujudkan MRSM berbayar bukan baharu. Pada 2017, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga mengeluarkan kenyataan bahawa ada cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar.

Pada 2017, Mara menerima lebih 60,000 permohonan sedangkan MRSM hanya mampu menawarkan tempat kepada 7,500 orang pelajar baharu tingkatan satu.

Dalam tempoh enam tahun kemudian, tempat yang disediakan untuk permohonan kemasukan tingkatan satu adalah 7,169 orang pelajar sahaja. Ini bermaksud selama enam tahun lalu, MRSM tidak berkembang dan gagal untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi golongan yang memerlukan.

Pandangan ini hanya ingin memberi perspektif kepada Asyraf Wajdi supaya beliau dapat memperhalusi dan memberi cadangan pada masa akan datang tentang bagaimana MRSM boleh diperkembangkan dan menampung lebih banyak pelajar.

MRSM tidak harus terpesong daripada matlamat penubuhannya. Mewujudkan peluang pendidikan untuk golongan kaya raya di platform yang seharusnya membantu golongan kurang berkemampuan adalah satu pendekatan korup dan harus dibantah. – UTUSAN

GANDIPAN NANTHA GOPALAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya