Tidak patut timbul istilah ‘jemaah haji B40’

Tidak patut timbul istilah ‘jemaah haji B40’

DARI segi hukum syaraknya, pendeposit B40 tidak diwajibkan pergi haji sekiranya deposit mereka masih belum mencukupi tanpa subsidi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU subsidi haji merupakan polemik yang sering diwacanakan saban tahun. Bahkan ia semakin mendapat perhatian setelah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terpaksa menaikkan bayaran untuk tahun ini kepada RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 (M40).

Justeru, tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) atau subsidi haji bagi setiap jemaah ialah sebanyak RM5,575 atau 35.84 peratus daripada kos sebenar.

Meskipun begitu, menurut Pengarah Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kos haji bagi tahun ini dijangka mencecah RM31,000.

Secara statistiknya, kos haji pada tahun ini meningkat hampir 100 peratus berbanding sedasawarsa lalu (RM15,555 pada 2013 dan RM31,000 pada 2023).

Di sinilah berlaku kejanggalan pertama kerana bakal haji sepatutnya membayar harga penuh dan bukannya harga subsidi. Ini kerana syarat wajib haji ialah berkemampuan.

Meskipun terdapat mekanisme rayuan haji, namun bakal haji yang merayu hanya dapat menunaikan haji sekiranya kuota asal ‘dilepaskan’ oleh bakal haji yang tidak dapat menunaikan ibadah itu pada tahun tersebut.

Dalam erti kata lain, perlu ada satu iltizam bagi pihak-pihak berautoriti untuk mengeluarkan satu ketetapan (atau fatwa) untuk mengutamakan bakal haji yang mampu dengan bayaran penuh.

Sekiranya dilanjutkan sedikit perbahasan ini, dari segi hukumnya, apakah dibenarkan untuk Tabung Haji mendahulukan orang yang belum berkemampuan melainkan hanya setelah dibantu dengan subsidi Tabung Haji?

Bermakna jemaah dengan subsidi Tabung Haji telah ‘mengambil hak’ bakal haji yang sememangnya sudah cukup belanja untuk ke tanah suci tahun ini. Sekiranya kita faham mengenai hakikat tuntutan berkemampuan, maka istilah canggung ‘jemaah haji B40’ tidak sepatutnya timbul sama sekali. Ini kerana dari segi hukum syaraknya, pendeposit B40 tidak diwajibkan pergi haji sekiranya deposit mereka masih belum mencukupi tanpa subsidi.

Oleh yang demikian, Tabung Haji dicadangkan merombak sistem subsidi haji dengan memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar mampu.

Pun begitu, ia perlu berdasarkan kuota tanpa meminggirkan sepenuhnya jemaah haji yang masih memerlukan subsidi.-UTUSAN

DR. MOHD ZAIDI MD. ZABRI & DR. MOHAMED HADI ABDUL HAMID
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya