SAUDARA PENGARANG,
TEKNOLOGI banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat juga kesan negatif ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.
Justeru, tidak hairan apabila ketagihan dan kerbergantungan kepada gajet dalam kalangan kanak-kanak sedang membesar menjadikan keibubapaan dalam era teknologi digital menjadi semakin sukar dan mencabar.
Akses kepada teknologi menjadikan kebergantungan kepada orang dewasa menjadi kurang. Panduan hidup yang biasanya disampaikan dan diajar secara bersemuka mendapat campur tangan media dalam talian.
Campur tangan media dalam talian datang dalam bentuk laman web, media sosial dan mesej melalui aplikasi teks.
Beberapa panduan boleh diguna pakai dalam menyelia dan mengawal anak-anak bawah umur di era digital:
1) Menggunakan aplikasi pengawalan seperti Google Family Link. Perkhidmatan kawalan ini membolehkan ibu bapa melaraskan parameter untuk peranti yang digunakan oleh anak. Aplikasi ini membenarkan ibu bapa menyekat kandungan, meluluskan atau tidak meluluskan aplikasi tertentu, menetapkan masa skrin dan lain-lain bentuk kawalan.
2) Memastikan anak-anak sentiasa aktif. Ibu bapa perlu merancang jadual harian dan memastikan jadual dipatuhi ke paras optimum. Perkara ini agak mencabar memandangkan kebanyakan keluarga terdiri dalam kalangan ibu bapa bekerja. Namun, kerjaya tidak boleh dijadikan alasan dalam mengabaikan tanggungjawab.
3) Membina hubungan bermakna dengan anak-anak. Kesibukan ibu bapa dengan kerjaya seringkali mengorbankan hubungan kedua-dua belah pihak. Justeru, ibu bapa perlu merancang bagaimana mereka boleh mencipta ruang komunikasi sihat bersama anak-anak.
4) Menyediakan jadual harian untuk anak-anak yang berada di bangku persekolahan. Sebagai contoh, tetapkan selepas pukul 8 malam, mereka perlu mengulang kaji tanpa gajet di sisi.
Ibu bapa perlu meningkatkan usaha bagi menjadi ibu bapa yang berfungsi bagi memastikan pengaruh maklumat yang mudah diperoleh melalui akses kepada internet dapat ditapis bersesuaian dengan usia anak- anak dan selari dengan tatasusila budaya dan undang-undang.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MELATI SUMARI
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya