Umum kerjasama elak pengkhianatan mandat

Umum kerjasama elak pengkhianatan mandat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti-parti politik perlu mengumumkan sebarang bentuk kerjasama awal, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi mengelakkan dakwaan pengkhianatan terhadap mandat rakyat, selain memastikan kestabilan politik tidak terjejas.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian ber­kata, langkah itu wajar kerana pengundi mempunyai hak mengetahui pihak yang bakal membentuk kerajaan.

“Pengumuman awal membolehkan mandat yang diberikan lebih jelas, sekali gus mengelakkan kekeliruan selepas pilihan raya.

“Kegagalan parti-parti menyatakan kerjasama lebih awal boleh menjejaskan kepercayaan rakyat, meskipun ia tidak me­nyalahi undang-undang.

“Dari sudut moral, ia boleh dilihat sebagai mengelirukan pengundi kerana mereka membuat keputusan tanpa mengetahui gabungan sebenar yang akan mentadbir,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan, tiada mana-mana parti dijangka mampu mendominasi pentadbiran negara secara solo selepas PRU16.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop berkata, lands­kap politik negara pasca PRU16 dijangka terus tidak menentu, sekali gus menuntut pembentukan kerajaan campuran bagi menjamin kestabilan pentadbiran.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tidak wajar parti-parti politik bertanding awal sebelum berbincang mengenai pembentukan kerajaan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Pendekatan itu berisiko men­­cetuskan ketidaktentuan politik, termasuk usaha menarik sokongan selepas keputusan pilihan raya.

Pendekatan ‘menang dahulu, bincang kemudian’, antara punca ketidakstabilan politik yang berlaku sebelum ini.

“Ada pandangan yang kata masing-masing bertanding du­lu, macam di Sabah. Lepas ke­putusan keluar, baru bincang tentang kerajaan. Tetapi apabila keputusan sudah ada, ada usaha untuk ‘ambil’ atau ‘tarik’ sokongan antara satu sama lain.

Keadaan itu boleh mewujudkan suasana politik tidak stabil apabila wujud usaha mendapatkan sokongan secara tergesa-gesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN