Sekat semua iklan promosi penipuan - Utusan Malaysia

Sekat semua iklan promosi penipuan

SEGALA maklumat, iklan, promosi, mesej dan video oleh penipu dalam talian perlu disekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) memandang serius isu jenayah penipuan dalam talian yang semakin tenat dan membimbangkan kebelakangan ini.

Sindiket ini dilihat semakin aktif di media-media sosial seolah-olah tiada pemantauan dan sekatan oleh pihak berkuasa.

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, jenayah jenis itu melibatkan pembelian dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan e-mel dan penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sejumlah RM52.4 juta kerugian akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia direkodkan sejak Oktober 2022 hingga Januari 2023. MBM percaya angka tersebut tidak membayangkan jumlah sebenar kerana terdapat kes mangsa tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Apa yang membimbangkan, modus operandi sindiket ini turut menyasarkan golongan muda termasuk pelajar dan belia bagi memperdaya mereka dalam urusan pinjaman dan menjadi keldai akaun.

Sudah pasti dengan tekanan yang dihadapi rakyat dalam situasi ekonomi hari ini, sindiket ini menggunakan kelicikan mereka menawarkan sesuatu yang tidak masuk akal untuk memerangkap mangsa.

Malah, jenayah penipuan dalam talian ini juga turut melibatkan penipu dari luar negara yang menguna pakai transaksi dengan nilai mata wang asing. Ini belum lagi menyentuh jenayah penipuan melibatkan pemerdagangan orang di luar negara yang begitu menggerunkan.

Segala kepakaran dan agensi yang ada seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu digemblengkan sepenuhnya bagi menyekat semua bentuk maklumat, iklan, promosi, mesej dan video berkaitan penipuan dalam talian di platform media sosial.

Matlamatnya mudah, jika iklan itu tidak dilihat maka risiko untuk individu menjadi mangsa penipuan dalam talian ini adalah sangat tipis. Di samping itu, kaedah advokasi dan kempen kesedaran kepada orang ramai juga perlu dipertingkatkan dan dijalankan secara berterusan. – UTUSAN

EOW SHIANG YEN, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya