Malulah jadi lelaki penganiaya wanita - Utusan Malaysia

Malulah jadi lelaki penganiaya wanita

AJARAN Islam secara jelas mensyaratkan supaya lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP tahun seluruh dunia menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac sebagai satu usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai peranan penting yang dimainkan oleh golongan wanita dan kejayaan yang telah diperoleh mereka.

Di samping kejayaan, sambutan pada tahun ini telah dicemari dengan pelbagai kisah penindasan dan penganiayaan terhadap wanita termasuk keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.

Isu-isu yang melibatkan penindasan dan penganiayaan terhadap wanita tidak seharusnya berlaku jika kita ingin memastikan golongan itu dapat terus memberikan sumbangan bakti kepada pembangunan negara kita.

Sebenarnya, pelbagai langkah telah diambil kerajaan bagi memastikan wanita tidak terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan isteri yang teraniaya di dalam sesebuah perkahwinan mendapat perlindungan dengan segera dan pampasan sewajarnya.

Usaha juga sudah diambil bagi mewujudkan sebuah akta khusus melarang gangguan seksual dalam negara kita. Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 sudah pun mendapat kelulusan Parlimen pada tahun lalu.

Sekiranya akta khusus ini dikuatkuasakan kelak, wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual akan mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk membuat aduan, menegakkan keadilan dan mempertahankan hak mereka.

Walaupun terdapat langkah bagi menambah baik aspek perundangan, namun ia tidak mencukupi sekiranya tiada pendidikan dan kesedaran berterusan diberikan terhadap golongan lelaki mengenai kepentingan untuk menghentikan segala jenis penindasan yang dilakukan terhadap wanita.

Segala kekuatan yang dimiliki oleh lelaki seharusnya disalurkan bagi melindungi wanita dan bukannya digunakan bagi menganiaya dan menindas mereka.

Ajaran agama Islam itu sendiri telah jelas mensyaratkan supaya lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumah tangga, lelaki dipertanggungjawabkan untuk sentiasa menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri serta anak-anak.

Amat malang jika lelaki yang diharap menjadi seorang pelindung, menjamin keselamatan dan menjaga perempuan bertindak sebaliknya sehingga terjadinya kes keganasan rumah tangga dan isteri terpaksa mendapatkan perintah perlindungan dari mahkamah.

Walaupun Islam melebihkan suami dari segi kedudukan tetapi itu bukan bermakna mereka berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hati. Kuasa dan kekuatan dimiliki oleh mereka perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya menimbulkan perkara buruk termasuk melakukan keganasan dan penindasan terhadap wanita.

Golongan suami mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan suasana ceria serta gembira dalam sesebuah institusi keluarga.

Amalan itu juga akhirnya akan mewujudkan perasaan hormat dan sayang isteri terhadap suami. Kebaikan yang dilakukan bukan sahaja terhad terhadap isteri malahan meliputi semua golongan wanita yang berada di sekeliling mereka.

Lelaki juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengambil inisiatif bagi membanteras penindasan yang berlaku terhadap wanita. Ini boleh dilakukan dengan melaporkan segera sebarang insiden yang melibatkan isu penindasan terbabit kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Sikap tidak mengambil peduli masalah yang dihadapi oleh wanita perlulah dikikis bagi menjamin hak serta kebajikan golongan itu. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya