SAUDARA PENGARANG,
DI negara ini, 15.6 peratus daripada remaja berusia 15 hingga 19 tahun menggunakan produk tembakau, dengan 11.6 peratus ialah perokok aktif dan 7.5 peratus lagi menggunakan rokok elektronik (vape).
Kemunculan produk merokok baharu ini terus memberi impak negatif kepada kesihatan, termasuklah membebankan sistem kesihatan, seterusnya mengancam kesihatan rakyat termasuk mereka yang bukan perokok.
Malah, ketagihan rokok dan vape adalah pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah dan bahan larangan lain sehingga menyebabkan ia perlu dibendung dari awal.
Kerajaan membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok. Namun, kadar kejayaan berhenti merokok tahunan kekal rendah pada tujuh peratus, yang bermaksud setiap tahun kurang daripada seorang dari 10 perokok dewasa yang berjaya berhenti. Tabiat ini harus dikekang secara berterusan.
Kerajaan telah berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mendepani permasalahan merokok, antaranya dengan melaksanakan kempen Tak Nak Merokok, perkhidmatan klinik berhenti merokok, kawasan bebas merokok, amaran bergambar di kotak rokok dan polisi tertentu seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dalam memerangi masalah merokok.
Mengharamkan penjualan rokok kepada mereka berumur 18 tahun dan ke bawah juga masih tidak mampu menghalang generasi baharu daripada merokok. Biarpun terdapat pihak berwajib melaksanakan pelbagai inisiatif membendungnya, ia seolah-olah langsung tidak diendahkan.
Usaha Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan percuma di lebih 900 klinik berhenti merokok yang terdiri daripada klinik kesihatan, farmasi, komuniti dan hospital juga kurang mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan perokok tegar.
Jika tiada tindakan terhadap isu ini, trajektori semasa menunjukkan bahawa kita akan hanya mencapai sasaran kelaziman merokok 15 peratus pada 2042, melepasi sasaran selama 17 tahun.
Maka, pelaksanaan strategi yang tepat dan berkesan, selain penguatkuasaan dan sokongan masyarakat dapat mengekang lebih ramai anak muda menjadi perokok dan pengguna vape sejajar dengan visi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mewujudkan generasi bebas asap rokok.
Pada asasnya, dengan langkah dan pelaksanaan yang betul dalam kawalan tembakau selain mengamalkan perubahan dasar dan perundangan yang progresif, kita mampu mencapai dan menikmati visi masa depan bebas asap rokok. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)