APA-APA peningkatan pencapaian patut kita banggakan terutama dalam pencapaian akademik pelajar kita.
Dikatakan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 adalah yang tertinggi dan terbaik semenjak STPM diperkenalkan.
PNGK keseluruhan 2025 naik sebanyak 0.1 markah dari 2.84 ke 2.85. Manakala, 1260 (3.0 peratus) pelajar mendapat PNGK 4.0 pada 2024 berbanding 1,116 pelajar pada 2023.
Banyak lagi petanda yang menunjukkan peningkatan dalam pencapaian keputusan STPM 2024.
Saya tertarik dengan data kehadiran pelajar sastera dan sains. Dinyatakan bilangan calon sains sosial yang hadir adalah seramai 38,869 atau 93.81 peratus, manakala bilangan kehadiran calon aliran sains adalah 2,656 calon atau 6.19 peratus.
Persoalannya, mengapa terlalu rendah pelajar jurusan sains? Jika negara kita ingin menuju ke arah kecerdasan buatan (AI), apakah yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menarik lebih ramai pelajar sains ke tingkatan enam?
Jika analisa yang diberi tepat, betul dan perbandingan yang dibuat adalah berdasarkan usaha sistematik yang berasaskan data empirikal, maka kita patut bangga kerana peningkatan ini peningkatan yang sebenar.
Namun, kita tidak boleh hanya melihat kepada data statistik dan buat perbandingan secara rawak.
Kita juga perlu melihat faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan STPM 2024 kerana pembolehubah luar boleh juga mempengaruhi keputusan tahun ini.
Apapun, tahniah kepada KPM kerana peningkatan ini dan dapat meneruskan usaha meningkatkan kualiti pelajar secara keseluruhan.
PETANDA SESI PENGAJARAN, PEMBELAJARAN BERKESAN?
Adakah peningkatan ini menunjukkan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun 2023 dan 2024?
Jika ini berlaku sejurus pandemik Covid-19 dan sekolah bermula seperti sebelumnya, mungkin kita boleh katakan dengan agak pasti ada korelasi yang tinggi.
Mungkin juga selepas beberapa tahun ‘kucar-kacir’ pembelajaran akibat Covid-19, para guru kita sudah belajar menjadi guru yang lebih mahir dalam pedagogi seperti pembelajaran kolaboratif, konstruktivisme, berasaskan inkuiri dan berasaskan projek.
Dengan kaedah baharu ini, mungkin diterima baik oleh pelajar kita di tingkatan enam.
Perlu diingat, mereka sebaya dengan pelajar universiti tetapi masih di bangku sekolah.
Maka, pedagogi yang lebih kepada andragogi iaitu seni dan sains mengajar orang dewasa akan membantu pelajar tingkatan enam meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Saya ingin menyarankan KPM menjalankan kajian yang lebih terperinci daripada bergantung kepada andaian semata-mata.
TARIK MINAT RAMAI SAMBUNG STPM
Dalam konteks institusi akademik, faktor pendorong (push factor) ialah elemen negatif dalam persekitaran pendidikan semasa pelajar yang mendorong mereka untuk mencari peluang di tempat lain, manakala faktor tarikan (pull factor) ialah aspek positif institusi atau lokasi berbeza yang menarik pelajar memilihnya berbanding institusi semasa mereka.
Faktor-faktor ini mempengaruhi keputusan pelajar mengenai tempat untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Bagi pelajar terutama pelajar bumiputera, selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka mempunyai banyak pilihan seperti memilih untuk melanjutkan pelajar di peringkat matrikulasi, diploma dan asasi universiti.
Terdapat juga peluang di sekolah antarabangsa dan golongan kaya menyambung pelajaran di luar negara seperti di Taiwan, United Kingdom dan Australia yang menjadi pilihan mereka.
KPM perlu bersaing untuk mendapatkan pelajar-pelajar ini. Jika kita ambil keputusan STPM yang baik adalah faktor tarikan, adakah ini sudah cukup untuk menarik pelajar ke tingkatan enam?
Pada pandangan saya, ini tidak cukup kerana terdapat banyak faktor pendorong yang mendorong pelajar ke institusi lain.
Saya kira perbezaan utama antara pelajar tingkatan enam dan pelajar diploma adalah pada jenis pendidikan yang mereka ikuti dan tempoh pengajian.
Tingkatan enam adalah sebahagian daripada sistem pendidikan menengah Malaysia, manakala diploma adalah program pengajian tinggi.
Ini merupakan faktor pendorong kerana pelajar dianggap sebagai pelajar sekolah.
Pedagogi tingkatan enam tidak banyak berbeza dengan kelas bawahan. pelajar diploma boleh memilih berhenti selepas diploma dan mencari pekerjaan atau meneruskan ke peringkat sarjana.
Antara faktor pendorong yang KPM perlu tangani adalah stigma pelajar STPM dipandang rendah berbanding pelajar diploma.
Laluan diploma di politeknik atau kolej swasta menawarkan pengkhususan lebih cepat dan peluang pekerjaan lebih luas.
Sesetengah universiti awam juga memberikan keutamaan kepada pelajar lepasan diploma dan asasi dalam pengambilan program sarjana muda mereka.
KPM perlu membina lebih banyak faktor tarikan berbanding faktor pendorong bagi menarik minat lebih ramai pelajar menyambung pengajian ke tingkatan enam. – UTUSAN
DATUK Dr. Abdul Rashid Mohamed ialah bekas Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara.










