SAUDARA PENGARANG,
KIRA-KIRA setahun telah berlalu sejak tercetusnya peperangan di Ukraine dan harapan untuk berakhirnya krisis itu dengan cepat nampaknya semakin pudar.
Dalam ucapan pada 6 Februari lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meluahkan kebimbangan seluruh dunia sedang menuju ke arah perang yang lebih meluas.
“Dunia perlu keamanan berlandaskan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Kita perlu berusaha lebih keras demi keamanan sedunia,” katanya.
Sejajar dengan nasihat itu, semua pihak perlu memilih mengadakan rundingan dan dialog untuk menyelesaikan pertelagahan bagi mengelak kita terhumban ke dalam gaung kemusnahan senjata nuklear.
Kerajaan Malaysia juga perlu memainkan peranan bagi memastikan senjata nuklear tidak digunakan dalam peperangan terbaharu ini dan harus memberi sokongan terhadap langkah-langkah bagi menghentikan peperangan di Ukraine.
Media massa dan orang awam perlu turut membuat desakan kepada kerajaan Malaysia agar terlibat sama bagi menamatkan peperangan tersebut dengan segera.
Sungguhpun terdapat pelbagai cabaran; kerasionalan, belas kasihan dan kedahagaan untuk keamanan akan mengatasi segala-galanya dan umat manusia boleh menjauhkan diri daripada kancah perang nuklear.
Pada masa sama, harus diubah cara berfikir yang berlandaskan kedaulatan negara kepada cara berfikir yang berasaskan kedaulatan manusia.
Konflik di Ukraine dan banyak perang lain adalah berlandaskan cara berfikir mahu mempertahankan kedaulatan negara dan telah menyebabkan kehilangan nyawa yang tragis sekali.
Kedaulatan manusia menjangkau kepentingan kedaulatan negara yang sempit dan ia menempatkan manusia sebagai tumpuan utama. Pandangan hidup sebegini akan mengubah kecenderungan manusia untuk mengulangi tragedi peperangan. – UTUSAN
DINESH CHANDREN, Petaling Jaya