PETALING JAYA: Rangkaian pasar raya premium, Jaya Grocer, bakal menjadi penyewa utama presint komersial pembangunan Edgewater di Sungai Petani, Kedah.
Ini akan menjadi kedai pertama Jaya Grocer di utara Malaysia selain Pulau Pinang, menandakan pencapaian penting bagi peruncit ini dan juga bagi Edgewater, sebuah projek mercu tanda yang bakal meningkatkan pengalaman membeli-belah dan gaya hidup di salah satu kawasan yang pesat membangun di Kedah.
Pengarah Urusan Kumpulan Eupe Corporation Berhad, Datuk Beh Huck Lee berkata, kehadiran mereka mengiktiraf pertumbuhan Sungai Petani menjadi sebuah pasaran yang kini memerlukan gabungan peruncitan yang lebih berkualiti dan pelbagai yang sesuai dengan populasi yang semakin berkembang, kuasa perbelanjaan yang meningkat dan jangkaan gaya hidup moden.
“Melalui kerjasama dengan Grab, Jaya Grocer menghubungkan pelanggan di seluruh negara dengan pelbagai perkhidmatan runcit dan penghantaran atas permintaan yang meluas, daripada barangan runcit premium dan hasil segar kepada keperluan harian dan makanan segera.
“Kerjasama ini meletakkan Jaya Grocer di barisan hadapan dalam industri runcit Malaysia yang terus berkembang, menggabungkan kemudahan pembelian dalam talian dengan pengalaman membeli-belah di kedai fizikal yang dipercayai pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng berkata, Edgewater memberi syarikat kedudukan strategik di utara Malaysia dan mendekatkan perkhidmatan membeli-belah barangan runcit premium kepada komuniti yang semakin berkembang di Sungai Petani.
“Melalui kerjasama kami dengan Grab, pelanggan akan menikmati pengalaman membeli- belah yang menyeluruh daripada hasil segar di kedai kepada perkhidmatan penghantaran atas permintaan yang lancar, menjadikan urusan membeli-belah harian lebih pantas dan mudah,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai perkembangan penting bagi projek Edgewater, sebuah pembangunan bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM700 juta yang dijangka dilancarkan secara rasmi pada separuh pertama 2026.
Cawangan Jaya Grocer yang dijadualkan dibuka pada awal 2028 meningkatkan daya tarikan komersial Edgewater dengan ketara.
Jelasnya, walaupun kebanyakan landskap runcit sedia ada di Sungai Petani tidak berpusat, didominasi oleh barisan kedai-kedai tradisional atau pusat membeli-belah gaya lama era 1990-an, Edgewater akan menawarkan konsep runcit bersepadu generasi baharu yang lebih sesuai dengan kehendak pengguna abad ke-21.
“Kehadiran Jaya Grocer di Edgewater memperkenalkan ekosistem baharu pilihan runcit, kemudahan, akses dan persaingan bukan sahaja kepada bakal penduduk pembangunan ini, tetapi juga kepada masyarakat Sungai Petani yang lebih luas,” katanya.
“Tema teras Edgewater, ‘Life Refreshed’, menggambarkan komitmen kami untuk memperbaharui gaya hidup, pengalaman membeli-belah dan interaksi masyarakat dan perkongsian ini adalah pemangkin utama dalam menghidupkan semula salah satu kawasan paling dinamik di utara Malaysia,” katanya.
Sebagai projek pembangunan penggunaan bercampur utama Eupe di Sungai Petani, Edgewater direka untuk menyatukan komuniti, perniagaan dan alam semula jadi dalam satu pelan induk.
Menampilkan kediaman kontemporari, ruang komersial berasaskan gaya hidup, dan kemudahan berorientasikan alam semula jadi termasuk hab biodiversiti untuk melindungi spesies tumbuhan tempatan dan terancam, Edgewater bertujuan untuk menjadi penanda aras place-making untuk utara Malaysia. – UTUSAN










