SHAH ALAM: Graduan dinasihatkan supaya tidak berhenti meningkatkan kemahiran pemikiran kritis dan kreatif dalam menghadapi cabaran terutama pada masa hadapan.
Canselor Management and Science University (MSU), Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, dalam masa sama graduan perlu memupuk budaya integriti yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti.
“Graduan perlu memiliki fokus yang jelas, keteguhan hati yang tinggi serta sentiasa mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat bagi menemui potensi diri.
“Bercita-citalah tinggi dengan ilmu global, tetapi jangan lupa berakar umbi untuk memberi kembali kepada komuniti,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen MSU ke-36, hari ini.
Baginda turut mengingatkan graduan agar berkongsi maklumat dalam media sosial secara bertanggungjawab tanpa menimbulkan fitnah atau berita palsu yang boleh mencetuskan salah faham dan menggugat keharmonian.
“Anda mesti bijak menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi untuk menganalisis dan mensintesis maklumat yang ada secara kritikal,” tegas baginda.
Pada majlis tersebut, baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian MSU apabila 99.9 peratus graduannya berjaya mendapat pekerjaan, hasil kolaborasi universiti dengan lebih 3,000 rakan industri dan lebih 500 universiti tempatan serta antarabangsa.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Tengku Sarafudin berkenan menyempurnakan pelantikan bekas Ketua Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air, Prof. Emiritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebagai Pro-Canselor MSU.
Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2,453 graduan dari 128 program menerima skrol pengajian dalam majlis berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Malah, ia turut mencipta sejarah apabila tiga program akademik, iaitu Bachelor in Economics and Finance (Honours), Advance Diploma in Midwifery dan Diploma in Music melahirkan kohort graduan sulung. – UTUSAN










