SAUDARA PENGARANG,
PADA awal tahun ini, saya ke Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya atas urusan rasmi.
Apabila pintu utama dibuka, saya mendengar gelak ketawa kakitangannya yang majoriti kelihatan seperti golongan belia berusia antara 20 hingga 30-an.
Saya berpendapat ini adalah tidak patut kerana penjawat awam harus bersikap lebih serius dalam urusan kerja seharian mereka di pejabat, bukannya bergembira sambil gelak ketawa kuat. Saya boleh menerima sekiranya ia berlaku pada waktu rehat atau di luar waktu pejabat.
Ketika berurusan, saya tidak menerima layanan yang sepatutnya. Kurang komunikasi kemanusiaan di mana kakitangan mengajukan soalan berbentuk teori yang saya fikir ia dirujuk pada sumber teks.
Sekiranya penjawat awam hanya berpandukan pada teori semata-mata, sukar untuk kerajaan mencapai objektif penubuhan agensi tersebut kerana mereka tidak mengambil kira faktor realiti semasa yang sedang berlaku di negara kita.
Setelah urusan selesai, saya duduk sebentar di ruang tamu menunggu untuk menjawab panggilan telefon. Setelah beberapa ketika, datang seorang kakitangan wanita dalam lingkungan umur lewat 20-an dan dia menghalau saya secara sangat biadab.
Tiada notis menyatakan ia adalah kawasan larangan yang memerlukan pelawat segera beredar selepas urusan selesai. Sekiranya ya, tidak salah bagi kakitangan untuk memberitahu secara bersopan santun dan bukan menghalau saya seperti golongan gelandangan.
Kakitangan terus menerjah tanpa usul periksa dan tidak bertanya apakah urusan saya. Sepatutnya, Laksana menekankan sifat sopan santun terhadap semua kakitangannya serta teliti dalam soal kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
Adalah perlu diingatkan bahawa tujuan penubuhan Laksana adalah untuk memastikan inisiatif yang diumumkan kerajaan dapat dilaksanakan supaya ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara. – UTUSAN
RAKYAT KECEWA, Kajang, Selangor