Jual karipap inti ‘oksigen’ tak berkat

Jual karipap inti ‘oksigen’ tak berkat

JUAL beli melibatkan penipuan dalam kualiti dan kuantiti makanan adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati para pembeli.

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN adalah bulan yang penuh berkat. Ia membuka ruang rezeki yang luas kepada para peniaga dan menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna. Hampir setiap sektor perniagaan menerima limpahan keberkatan bulan Ramadan sama ada tekstil dan pakaian, hiasan dan perkakasan rumah, kuih muih, lauk pauk serta pelbagai jenis makanan.

Namun begitu, saban tahun isu melibatkan makanan terus berputar antaranya kualiti yang semakin rendah, kuantiti atau kandungan bahan semakin berkurangan dan harga semakin mahal. Dalam isu berkaitan kualiti makanan, pengguna sering melaporkan makanan yang dibeli tidak menepati selera atau tidak sedap, inti kosong seperti ‘karipap oksigen’ dan ‘bombalani oksigen’, makanan basi apabila waktu berbuka puasa kerana disediakan terlalu awal. Selain itu, terdapat juga pengguna mengalami cirit birit akibat memakan juadah yang dibeli di bazar Ramadan.

Selain itu, dalam meraih keberkatan mencari rezeki juga para penjual perlu menjaga prinsip halalan toyyiban dalam pengendalian makanan yang dijual kepada pengguna di bazar Ramadan. Ia bermula dari pemerolehan bahan mentah yang halal, proses penyediaan yang toyyib sehinggalah sampai ke tangan pembeli. Justeru, para penyedia dan penjual perlu menitikberatkan aspek halal, bersih dan suci. Apatah lagi makanan dijual itu akan dinikmati oleh orang yang berpuasa.

Jual beli melibatkan penipuan dalam kualiti dan kuantiti makanan adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati para pembeli. Umpamanya, kuih yang nampak kembung berinti tetapi hanya ruang kosong atau makanan yang dimasak berulang kali kerana tidak habis.

Sehubungan itu, dalam mencari rezeki di bulan Ramadan, para peniaga perlu menjaga batasan yang dilarang Islam seperti tidak tamak dalam mengaut keuntungan, tidak menipu dalam kualiti dan kuantiti makanan, timbangan atau sukatan, di samping mengambil berat prinsip halalan toyyiban dalam makanan yang dijual. Ini kerana ia akan mengundang keberkatan dalam rezeki yang diterima. Keberkatan ini penting kerana kita akan berasa cukup dengan rezeki yang Allah berikan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR.MOHD. ANUAR RAMLI
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN