Bimbang kejadian pokok tumbang berulang - Utusan Malaysia

Bimbang kejadian pokok tumbang berulang

LALUAN pejalan kaki berbumbung di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang, Selangor yang rosak teruk ditimpa pokok. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA lewat petang 22 Mac lalu, berlaku kejadian ribut di Bandar Baru Selayang, Selangor dan kawasan sekitarnya yang menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga mengakibatkan bandar di utara Lembah Klang itu mengalami kesesakan trafik luar biasa apabila banyak laluan terhalang.

Kejadian pokok tumbang di bandar itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sering terjadi. Cuma bencana kali ini saya rasa paling ‘dahsyat’ dan kejadian pokok tumbang turut melibatkan laluan pejalan kaki berbumbung di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang.

Untuk memastikan kejadian ini tidak terus berulang dan meragut nyawa penduduk dan murid, saya berharap penambahbaikan dapat dilakukan termasuk mengenal pasti dan menebang pokok yang berada dalam kategori tidak sihat yang kebiasaannya mempunyai akar sudah busuk, hitam dan mereput.

Terdapat pelbagai faktor pokok tidak sihat termasuk kurang penyelenggaraan, dimakan anai-anai dan akar luka kerana terkena bilah alat pemotong rumput.

Perlu juga dipantau kerja-kerja pemangkasan dan pemotongan dahan pokok secara berkala oleh kontraktor kerana cara potongan yang tidak betul akan mendorong pokok cepat rosak dan rapuh sehingga akhirnya tumbang.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga perlu mendapat kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk mengenal pasti spesies pokok tahan lasak dan tidak bersaiz terlalu besar seperti tanjung dan merawan siput jantan untuk ditanam semula di kawasan pokok tumbang terbabit.

Pokok-pokok baharu perlu mempunyai sistem akar, ranting yang kuat, mempunyai ketahanan kepada suhu tinggi serta tidak memerlukan penyelenggaraan secara kerap.

Mungkin juga boleh dikaji kesesuaian penanaman pokok tecoma atau Sakura Malaysia bagi menjadikan bandar itu lebih menarik dengan musim bunga berkembang dua kali setahun dari Mac hingga April dan dari Ogos hingga September. – UTUSAN

BAPA RISAU, Selayang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya