SAUDARA PENGARANG,
HASRAT Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti perlu disegerakan.
Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mekanisme itu akan dibawa kepada jemaah menteri untuk disokong dan dijadikan dasar sebagai langkah menamatkan kemiskinan melalui ilmu dan kemahiran.
Langkah ini bukan sahaja dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa dan waris malah pihak universiti juga pastinya menarik nafas lega kerana dapat membantu pelajar agar tidak meninggalkan pengajian mereka separuh jalan nanti.
Saya melihat masalah kewangan terutama selepas pandemik Covid-19 memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi negara malah golongan pelajar institusi pengajian tinggi juga.
Ada dalam kalangan pelajar di sesetengah universiti terpaksa mengikat perut sepanjang pengajian kerana terpaksa berbelanja untuk keperluan harian serta lain-lain dan itu tidak termasuk pembayaran yuran serta
pembelian berkaitan subjek yang mereka pelajari.
Oleh itu, hasrat Mohamed Khaled untuk membawa mekanisme dan dasar tersebut ke jemaah menteri harus disokong kerana ia memberi banyak manfaat kepada pelajar universiti agar berjaya sampai ke menara gading sekali gus memberi mereka kelebihan dalam dunia pekerjaan nanti.
Dalam pada itu, saya sebagai mahasiswa menaruh harapan agar hasrat ini dapat disegerakan dalam tempoh terdekat.-UTUSAN
MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Universiti Utara Malaysia (UUM)










