Pensyarah perlu ‘hidup’ beratus-ratus tahun - Utusan Malaysia

Pensyarah perlu ‘hidup’ beratus-ratus tahun

KERJAYA sebagai ahli akademik bukan hanya mengajar di bilik kuliah sahaja. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERJAYA sebagai ahli akademik bukan hanya mengajar di bilik kuliah sahaja, sebaliknya merangkumi kepelbagaian cabang lain khususnya penulisan dan penerbitan.

Menjadi impian setiap pensyarah untuk memperolehi geran penyelidikan sama ada geran penyelidikan industri, kebangsaan dan antarabangsa. Penyelidikan atau kajian itu mengambil masa beberapa tahun dan perlu disiapkan pada tempoh ditetapkan.

Hasil kajian kebiasaan akan diterbitkan melalui artikel khusus dalam jurnal-jurnal akademik. Penerbitan artikel terbabit akan meningkatkan tahap pencapaian tahunan setiap pensyarah.

Justeru, tidak janggal jika setiap ahli akademik mensasarkan kajian dan penerbitan artikel khusus dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi yang kebanyakan diakses, dibaca dan diterokai oleh golongan tertentu iaitu ahli akademik lain, penyelidik, pelajar pascasarjana dan mahasiswa di universiti awam dan swasta.

Di sini kita lihat seolah-olah wujud dua ‘kasta’ antara golongan sarjana yang membaca jurnal akademik dan masyarakat awam yang cenderung kepada sumber lain.

Orang awam pula meneroka ilmu dengan membaca bahan bacaan seperti buku, surat khabar, majalah, blog, laman web dan media sosial.

Oleh itu, pensyarah perlu menulis juga untuk khalayak awam. Walaupun bentuk-bentuk penulisan ini kurang memberi impak dalam mengukur tahap pencapaian pensyarah berbanding artikel jurnal, namun bentuk penulisan ini menjadi satu platform paling dekat dengan masyarakat untuk mereka meneroka ilmu pengetahuan.

Kini, banyak bentuk buku bersifat santai, fiksyen, jenaka, motivasi, agama dan sastera. Pensyarah perlu kreatif dalam mempersembahkan hasil kajian dalam bahasa yang boleh diterima oleh masyarakat.

Bukan sahaja buku, malah akhbar tempatan turut menyediakan pelbagai ruangan untuk ahli akademik mencurah ilmu, pemikiran dan pandangan, dakwah, cadangan serta solusi terhadap isu semasa. Begitu juga artikel majalah ilmiah yang dapat disalurkan ilmu kepada masyarakat.

Ahli akademik juga perlu aktif di media sosial dalam menyampaikan ilmu atau hasil kajian dalam bentuk yang lebih kreatif, santai, menarik dan boleh diterima masyarakat awam.

Jika dilihat sejarah tamadun Islam, tiada jurnal akademik pada ketika itu. Ilmuwan Islam pada zaman dahulu menghasilkan pelbagai karya, buku atau kitab yang dibaca oleh setiap lapisan masyarakat.

Sasaran penulisan pada waktu itu bukan untuk mencapai sasaran tahunan yang ditetapkan oleh universiti tetapi lebih kepada tanggungjawab menyebarkan ilmu dan ‘mensarjanakan’ masyarakat.

Walaupun penulisnya telah meninggal dunia beratus-ratus tahun lamanya, namun ilmuwan terbabit tetap ‘hidup’ apabila tulisan-tulisan mereka sentiasa dibaca dan dimanfaatkan oleh generasi kini.

Begitu juga dengan sejarah ilmuwan dan ulama di Nusantara yang banyak menghasilkan karya, buku atau kitab. Naskhah asal kitab ini dikenali sebagai manuskrip Melayu.

Terdapat sebilangan kecil manuskrip yang tidak mempunyai nama pengarang kerana kezuhudan penulis untuk tidak dikenali, manakala sebahagian besar naskhah mempunyai nama pengarang atas dasar tanggungjawab terhadap penulisan.

Karya-karya ini dirujuk oleh masyarakat tempatan. Ia sering dibaca sama ada di masjid atau majlis ilmu dan turut dijadikan kajian oleh ahli akademik. Ketokohan mereka diangkat dan hasil penulisan mereka dibaca dan diketahui oleh masyarakat di Nusantara khususnya.

Oleh itu, ahli akademik disarankan untuk tidak hanya fokus kepada penulisan artikel jurnal akademik semata-mata, sebaliknya turut melibatkan diri dalam penulisan bahan-bahan bacaan yang lebih dekat dengan masyarakat. – UTUSAN

NOOR SYAHIDAH MOHAMAD AKHIR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.