Pengacara boleh terjerit-jerit, tapi bukan juri - Utusan Malaysia

Pengacara boleh terjerit-jerit, tapi bukan juri

BIARLAH yang menjerit-jerit itu individu yang memakai baju pengacara kerana itu kelebihan mereka untuk memeriahkan program. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, saya menonton satu program realiti tanpa dirancang. Rancangan tersebut berbentuk hiburan kekeluargaan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen penyiaran swasta.

Agak mengejutkan apabila melihat satu insiden di mana pasangan peserta telah ditengking serta diherdik oleh juri. Herdikan yang dibuat dengan suara tinggi dan nyaring oleh juri tersebut agak keterlaluan bagi saya.

Ia tidak sesuai, seolah-olah peserta ini telah melakukah sesuatu memalukan yang boleh merosakkan program tersebut. Rancangan itu berbentuk hiburan sahaja yang berasaskan kekeluargaan. Perlukah herdikan sedemikian dilakukan?

Perlu diingatkan, rancangan itu disiar secara langsung ke seluruh negara. Ia ditonton oleh penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kaum. Juri ialah orang yang sepatutnya mempunyai ilmu.

Orang berilmu lazimnya mempunyai adab terpuji bila mahu menegur sesuatu. Dalam Islam pun diminta sebarang teguran itu dibuat secara berhemah dan berhikmah. Ini perlu demi memelihara maruah insan yang terbabit.

Ramai yang berada di hadapan televisyen menontonnya. Walaupun dikatakan herdikan itu bertujuan mengajar peserta terbabit atas dasar sayangkan bakat mereka, kita harus maklum bahawa niat tidak menghalalkan cara.

Teguran terbabit tidak salah tetapi yang salah cara teguran itu dibuat tidak kena pada tempatnya. Pernahkah juri tersebut terfikir bagaimana perasaan seseorang apabila diherdik dengan suara yang tinggi di hadapan orang ramai?

Bagaimana pula penerimaan keluarga peserta tersebut terutama ibu bapa yang sedang menonton? Berhati-hatilah apabila kita bertutur dengan insan lain yang tentunya mempunyai hati dan perasaan serta maruah.

Teguran yang keterlaluan boleh menjejaskan perasaan peserta hingga menitiskan air mata kerana menahan malu diperlakukan sedemikian di khalayak ramai. Penderaan mental juga boleh terjadi dalam situasi ini.

Fikiran pasti terkesan dengan hamburan kata-kata yang kurang enak didengar. Sekiranya tidak berhati-hati akan terjerumus ke dalam kategori buli mental.

Inikah yang dikatakan sebuah program bercorak kekeluargaan? Tegurlah dengan cara yang membina tanpa perlu disergah atau diherdik peserta. Dalam hal ini, saya ingin memberi pujian kepada Datuk Sya­finaz, Datuk Ramli MS serta Bonda Hetty.

Dengan nada bersahaja mereka memberitahu peserta di mana silapnya nyanyian masing-masing bahkan memberi tunjuk ajar sekali. Peserta yang mendengar pun memberi perhatian dengan hormat tanpa ada rasa takut dan malu.

Orang berilmu selalunya akan memberi teguran bercorak konstruktif atau membina, bukannya menjerit dan mengherdik seolah-olah syok sendiri.

Ada benarnya cara pembawaan atau keperibadian seseorang itu berbeza. Tetapi sebagai individu yang berbelas tahun lamanya menjadi juri serta profesional, anda harus membawa watak seorang juri dan bukan menjadi diri sebenar.

Lihat juri-juri Gegar Vaganza, mereka sopan dan berhemah ketika memberi teguran atau komen nyanyian peserta.

Biarlah yang menjerit-jerit itu mereka yang memakai baju pengacara. Itulah kelebihan mereka untuk memeriahkan program tersebut sesuai dengan konsep santai di hujung minggu.

Saya percaya garis panduan memang telah ada apabila juri mengendalikan sesebuah program. Garis panduan itu perlu dipatuhi terutama apabila membabitkan rancangan realiti yang disiarkan secara langsung. – UTUSAN

LATIFAH HAJI MOHAMED, Senawang, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya