Pendidikan TVET perlu distruktur semula

Pendidikan TVET perlu distruktur semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu menyegerakan langkah untuk menstruktur semula program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedia ada bagi mengelak pertindihan dan pembaziran dalam pelaksanaannya.

Kini terdapat empat institusi kemahiran yang digolongkan dalam Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang ditempatkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Persoalan ini perlu diketengahkan dari dahulu lagi, kenapa ILKA tidak beroperasi di bawah satu kementerian sahaja?

Saya sebagai alumni ILKBS melihat kursus yang ditawarkan oleh empat institusi ini sebenarnya menawarkan kursus kemahiran tetapi tidak distruktur supaya berada di bawah satu pengurusan.

Bukan sahaja pertindihan dan pembaziran dalam pelaksanaannya seperti dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, malah peluang graduan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti ijazah, sarjana atau peringkat doktor falsafah (PhD) seolah-olah tidak diberi perhatian.

Lebih menyedihkan apabila kedengaran dalam setiap pengambilan di institusi yang menawarkan TVET kadangkala tidak dipenuhi oleh pelajar dalam setiap kursus ditawarkan. Namun, institusi ini terpaksa
meneruskan pengajian mereka walaupun tidak memenuhi sasaran jumlah pelajar bagi kursus ditawarkan.

Sekiranya penstrukturan ini dilengahkan, pastinya sasaran kerajaan bagi meningkatkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030 tidak akan tercapai.

Moga tindakan segera ini dapat memberi peluang kepada graduan ILKA untuk pergi jauh termasuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi dengan pewujudan kolej universiti kemahiran ataupun universiti kemahiran kelak.

Pastinya langkah ini akan melegakan semua pihak terutama ibu bapa, pelajar dan pemain industri yang kadangkala keliru dengan pusat pengajian kemahiran yang terdapat di negara ini.

Saya bersetuju dengan Hannah agar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia duduk berbincang dan mencapai kesepakatan demi rakyat dan negara.-UTUSAN

SAMSUDIN OLI MOHAMED
Bekas Presiden Alumni ILKBS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN