SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menggunakan istilah manusiawi yang dihubungkan dengan pembangunan sosioekonomi mahu dilaksanakan kerajaan.
Maknanya, pemimpin politik yang mempunyai sifat manusiawi tinggi dengan nilai-nilai rahmah dan ihsan akan berupaya mensejahterakan rakyat tanpa merendahkan karamah insaniah (kemuliaan insan).
Maknanya, membangun aspek material tanpa merobohkan nilai kemanusiaan di dalamnya. Yang penting dalam melaksanakan itu semua ialah sifat-sifat jujur, amanah dan integriti tinggi.
Inilah antara hasrat Anwar dalam membangun masyarakat atau Malaysia Madani yang mahu mengangkat kemuliaan insan dalam seluruh aspek pemerintahannya.
Masyarakat madani tidak akan mampu dicapai sekiranya rakyat dipimpin oleh pemimpin yang mabuk atau gila kuasa yang tidak memiliki nilai manusiawi dan integriti tinggi.
Pemimpin mabuk kuasa hanya suka bermegah-megah. Mereka cenderung melihat kuasa dari kaca mata keegoan semata-mata sehingga menjerutnya kepada penyelewengan dan menyalahgunakannya.
Pada kebiasaannya, pemimpin yang hanya mementingkan kuasa mempunyai nilai integriti dan sifat manusiawi yang rendah. Mereka akan mudah melakukan kezaliman terhadap pengikut dan rakyat.
Jika mereka melakukan sesuatu yang nampak zahirnya bersifat manusiawi atau melaksana projek-projek pembangunan, di sebalik perlakuannya itu ada penyelewengan untuk mengumpul harta secara keji seperti rasuah dan merembat wang rakyat.
Pemimpin yang tidak mempunyai nilai integriti ini akan hilang keupayaan untuk memahami hakikat persekitaran. Mereka tidak berkeupayaan untuk memahami kesusahan dan penderitaan rakyat atau tidak mampu memahami denyut nadi kehidupan masyarakat.
Ia hilang sensitiviti manusiawi kerana gagal melihat dan menapis realiti yang wujud di sekelilingnya kerana telah berada dalam perangkap kuasa.
Pemimpin yang berada dalam keegoan kuasa biasanya gagal mewujudkan budaya saling bekerjasama sehingga pada dirinya terserlah sifat autokratik.
Jika mereka menteri yang memegang portfolio sesuatu kementerian maka ia akan gagal membina kerjasama dan sinergi baik dengan pegawai-pegawai awam di bawah kawalannya.
Jika mereka berurusan dengan masyarakat maka ia cenderung untuk memangsa dan menzalimi rakyat, pengkritik dan musuh-musuh politiknya.
Jika ia seorang pemimpin tertinggi sesuatu parti maka pemimpin seperti ini cenderung mencetuskan suasana keliru, mengeluarkan ucapan berbaur ugutan dan akan sentiasa meningkatkan pengawasan dan kawalan terhadap pengkritiknya.
Langkah kerasnya gemar menggunakan kuasa secara autokratik untuk menyingkir musuh-musuh politiknya supaya kedudukannya selamat dan tidak dicabar.
Sikapnya ini akan menyebabkan kepemimpinannya diragui dan dibenci yang akhirnya boleh mengalami penurunan dan kejatuhan atau menanti masa untuk disingkirkan.
Pemimpin yang tidak mampu berdepan dengan pengkritik dan musuh politiknya dengan hujah akan menyebabkan di sekelilingnya hanyalah pengikut yang bersifat ‘pembodek’ yang akhirnya akan membawa rebah kepadanya. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas