SAUDARA PENGARANG,
CUTI sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini menyaksikan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhadapan kesesakan trafik melampau.
Cuti umum sempena perayaan tersebut dimanfaat warga kota untuk pulang ke kampung atau melancong menyebabkan aliran trafik bertambah lebih dua kali ganda dari hari biasa. Kesesakan kini sudah menjadi satu perkara baharu bagi pengguna lebuh raya pada cuti musim perayaan, cuti umum, cuti peristiwa mahupun cuti hujung minggu.
Jumlah pengguna lebuh raya bertambah menyebabkan trafik sesak, tuntasnya perjalanan yang dekat mengambil masa yang panjang. Keadaan ini memberi tekanan kepada pengguna khususnya pemandu, letih dan lesu kerana berada terlalu lama dalam kenderaan.
Apabila keadaan sesak di lebuh raya, pengguna beralih ke jalan persekutuan pula sekali gus turut menyebabkan kesesakan.
Antara langkah proaktif yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengatasi kesesakan adalah memadam lampu isyarat dan menugaskan polis tra k di kawasan kritikal di jalan lama.
Keadaan ini dapat membantu melancarkan aliran trafik, namun bilangan kenderaan bertali arus menyebabkan kesesesakan terus menerus berlaku.
Pergerakan kenderaan ada kalanya hanya selaju lima kilometer sejam sahaja (5 km/j).
Keadaan sesak juga berlaku di lebuh raya ketika hujan atau kemalangan. Sebelum ini terdapat kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan tetapi pihak berkuasa berjaya mengatasi masalah ini. Kejayaan ini patut dipuji.
Adakala tiada apa pun halangan, kesesakan tetap juga berlaku. Ini terkait sikap pemandu yang tidak memandu secara tertib. Lorong kanan atau tengah tidak sepatutnya dipandu secara santai hingga menyebabkan aliran trafik menjadi tersangat perlahan. Keadaan ini menyebabkan kelewatan perjalanan hingga berjam-jam.
Sehubungan itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diminta mengkaji punca-punca yang menyebabkan kesesakan selain sikap pemandu yang tidak tertib. Antaranya menambah jumlah kawasan rehat dan rawat (R&R).
Selain itu, LLM juga perlu mengambil langkah-langkah proaktif dari semasa ke semasa semasa bagi mengatasi masalah kesesakan yang semakin melampau sejak akhir ini.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya