Objektif OIC berjaya, masih lagi relevan - Utusan Malaysia

Objektif OIC berjaya, masih lagi relevan

OBJEKTIF penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk menggalakkan kerjasama antara negara-negara Islam dari segi kebudayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) merupakan sebuah badan antarabangsa yang terdiri daripada 56 negara Islam kebanyakannya dari Asia Barat, Asia Tenggara, Afrika Utara dan Asia Selatan.

OIC memiliki delegasi tetap di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Badan ini ditubuhkan pada 1969 di Maghribi. Negara-negara anggota memiliki kawasan seluas kira-kira 31.66 juta kilometer (km) dengan penduduk Islam lebih kurang 1.95 bilion atau hampir 24.6 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Objektif utama penubuhan OIC adalah untuk menggalakkan kerjasama antara negara-negara Islam dari segi kebudayaan, sains, sosial dan ekonomi. Ini termasuk memberi perlindungan Islam, tempat-tempat suci agama itu dan menyokong hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.

Antara kejayaan OIC adalah memulihkan hubungan Mesir dengan negara-negara Arab yang telah terputus setelah negara tersebut dipulaukan kerana hubungannya dengan Israel.

OIC turut memainkan peranan dalam penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang bertempat di Jeddah, Arab Saudi. Selain itu, memberi bantuan kepada negara-negara Islam yang dilanda musibah dan kebuluran seperti di Afrika.

Badan itu menubuhkan Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Negara-Negara Islam (ISESCO) di Maghribi dan Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Kebudayaan Islam (IRCICA) di Turkiye.

Dalam pada itu, Malaysia banyak menyumbang kepada badan itu termasuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama OIC dan turut menyokong aktiviti Bank Pembangunan Islam (IDB) di mana sebuah pejabat turut diwujudkan di negara ini sejak 1995.

Malaysia juga pernah menganjurkan Sidang Kemuncak OIC Ke-10 di Putrajaya pada 2003 serta menyediakan peruntukan biasiswa pelajar dari negara-negara Islam. – UTUSAN

AHMAD IZZUDDIN MOHAMED & PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya