Hati dua bilion umat Islam terluka - Utusan Malaysia

Hati dua bilion umat Islam terluka

SERANGAN dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 berpunca daripada kurang kefahaman bukan Islam terhadap ajaran sebenar agama itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISLAMOFOBIA adalah satu istilah yang merujuk kepada sikap prejudis, prasangka dan diskriminasi khusus pada Islam serta umatnya secara keseluruhan.

Walaupun rata-rata masyarakat dalam kalangan negara-negara Barat dan bukan Islam masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan di sana yang gemar melemparkan pelbagai tuduhan negatif terhadap Islam dan umatnya.

Umat Islam dilabel sebagai pengganas dan pemakaian menutup aurat disifatkan ketinggalan zaman serta satu bentuk penindasan khususnya terhadap wanita.

Mereka mengejek umat Islam kerana dikatakan masih berpegang teguh terhadap ajaran agama yang kuno dan ketinggalan zaman serta pelbagai tuduhan negatif lain yang telah menyinggung perasaan serta hati hampir dua bilion umat Islam di serata dunia.

Terbaru, tindakan Islamofobia oleh pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm, Sweden selepas mendapat permit untuk bertindak sedemikian daripada kerajaan negara itu.

Beberapa negara Islam termasuk Malaysia mengecam keras perbuatan kurang ajar pemimpin berkenaan. Akibat pelbagai fitnah serta tuduhan negatif yang sering dilemparkan terhadap Islam, penganut agama itu telah menjadi mangsa gangguan serta serangan ganas daripada individu serta pertubuhan pelampau.

Kita masih ingat pada 15 Mac 2019, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden serangan terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Kejadian terbabit dilakukan oleh pengganas kulit putih. Seramai 51 mangsa terbunuh dalam kejadian berkenaan serta berpuluh-puluh orang lagi cedera parah.

Segala tuduhan negatif yang sering dilemparkan terhadap Islam dan penganutnya menunjukkan individu serta pertubuhan terlibat betul-betul tidak memahami ajaran sebenar dibawa oleh Islam serta kehidupan sebenar umatnya.

Akibat kedegilan individu serta pertubuhan ini untuk belajar mengenali Islam secara dekat serta bercampur gaul dengan umat itu sendiri menyebabkan perasaan syak wasangka dan salah faham wujud dalam pemikiran mereka.

Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, nescaya sikap Islamofobia akan terus berlaku serta tersebar mempengaruhi generasi muda bukan Islam di Barat.

Oleh demikian, tindakan proaktif perlu diambil dengan serius dan segera bagi membendung sikap Islamofobia ini melalui sesi penerangan dan pendidikan berterusan.

Ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah termasuk sesi dialog, bual bicara, temu ramah, syarahan serta debat di antara umat Islam dengan bukan Islam.

Negara bukan Islam juga perlu memberi pendidikan awal di peringkat sekolah mengenai ajaran Islam sebenar yang mengutamakan kedamaian dan melarang keras umatnya untuk melakukan sebarang jenis penindasan dan kekejaman kepada orang lain.

Islam mengutamakan toleransi terhadap semua pihak tanpa mengira bangsa serta agama. Tindakan keganasan dilakukan oleh segelintir umat Islam beberapa tahun kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan ajaran Islam sebenar. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya