Haramkan poster ketika pilihan raya - Utusan Malaysia

Haramkan poster ketika pilihan raya

TERDAPAT cadangan kempen pilihan raya tidak perlu lagi digantung poster. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN supaya diharamkan poster ketika pilihan raya bukan perkara baharu kerana sebelum ini beberapa ahli politik mahupun parti politik menyuarakan pandangan hampir sama iaitu kempen pilihan raya tidak perlu lagi digantung poster.

Ini kerana wujud persepsi salah yang menganggap parti-parti politik lekeh (tidak berdaya dan lemah) jika bendera dan poster kempen kurang kelihatan ketika pilihan raya.

Rakyat berpegang kepada logik, bagaimana satu-satu calon atau parti hendak menang kalau tidak mampu dan tiada wang yang banyak untuk menyediakan bahan-bahan berkempen seperti poster, bendera dan papan iklan.

Jika kawasan Barisan Nasional (BN), satu kawasan akan menjadi biru. Sekiranya lubuk Pakatan Harapan (PH), satu kawasan akan merah, begitulah bagaimana contoh-contoh ini membina persepsi dalam kalangan rakyat.

Kemampuan menyediakan bahan kempen yang banyak, tidak terhad kepada poster dan lain-lain, sebaliknya ia disulam dengan kempen pemberian wang atau barangan kepada pengundi sama ada secara langsung atau tidak.

Sekalipun jumlah bahan kempen bukan jaminan untuk parti atau calon menang, namun ia cukup untuk mewujudkan lantai pertandingan yang senget atau berat sebelah kepada parti-parti lain. Bagi parti-parti kecil yang tidak mempunyai dana sebesar parti pemerintah atau parti yang memang besar, mereka akan tenggelam dalam persaingan kempen.

Persepsi bahawa parti politik yang bertanding perlu wang banyak selari dengan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) lalu sebagai pilihan raya paling korup kerana politik wang.

Saya juga pernah melaluinya sendiri ketika berkempen dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun lalu. Gejala ini memang benar-benar berlaku, namun untuk memperoleh bukti khususnya dalam aspek teknikal perundangan sehingga membolehkan kes itu didakwa di mahkamah bukan perkara mudah.

Budaya memberi rasuah dalam pelbagai bentuk baik sebelum atau semasa kempen pilihan raya sudah dilihat sebagai ‘normal’. Malah, kita akan disindir jika turun berkempen hanya membawa risalah penerangan tanpa sampul surat atau angpau.

Dalam isu ini, saya tidak menyalahkan parti-parti kaya. Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi badan berkuasa bagi urusan pilihan raya untuk menjalankan proses demokrasi dengan bersih dan adil, harus menyediakan lantai pertandingan yang adil dan sama rata kepada semua parti terlibat.

Sudah sampai masanya SPR melihat kembali masalah ini secara lebih mendalam akan kesannya kepada sistem politik secara keseluruhan.

Jika kita bercakap tentang reformasi pilihan raya, beberapa usaha sedang dibuat seperti Rang Undang-Undang Dana Pembiayaan Politik. Usaha-usaha seperti ini harus dilihat dengan lebih mendalam dan merangkumi semua aspek kempen pilihan raya.

Jika perkara ini tidak diperhalusi dengan lebih mendalam, parti-parti politik yang mempunyai akses kepada sumber kewangan, akan berbelanja habis-habisan hingga tiada had. Sekalipun wang ini mungkin bukan kesemuanya wang rakyat (kerajaan), maka pastilah duit ini datang daripada orang yang memberi dana. Pendana ini menyumbang kerana ada hubungan politik.

Dan hubungan politik ini, ada kosnya. Parti yang menang, harus menabur budi kepada pendana selepas itu, kitarannya begitu. Jika kita semua lalai, rasuah akan terus berleluasa. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya