SAUDARA PENGARANG,
KENAPA Tun Dr. Mahathir Mohamad masih tidak mahu bersara daripada perjuangan politik dan hanya duduk diam di rumah bersama cucu serta beribadah?
Bila ditanya, bagi Dr. Mahathir, beliau merasakan perjuangan politik sebahagian daripada ibadahnya. Ramai berasa sulit menerima jawapan ini. Mereka yang tidak dapat menerima kenyataan ini sebenarnya merasakan atau menganggap beliau sama dengan ahli politik lain yang berjuang demi jawatan, kedudukan dan wang untuk diri atau anak-anaknya. Berikutan sangkaan inilah, mereka tidak dapat memahami sikap bekas perdana menteri itu terhadap politik.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir melahirkan kesedihannya sewaktu di Langkawi. Kekecewaan ini saya baca di media, lantas kami teringat kisah dan iktibar pengajaran daripada perjuangan Nabi Nuh.
Semasa perjuangan dan berdakwah, baginda dinasihati oleh orang-orang musyrik yang sombong agar berhenti dan berehat daripada meneruskan usaha tersebut.
Kumpulan musyrik ini adalah mereka yang tinggi kedudukannya dalam masyarakat, kaya dan berkuasa seperti pemimpin politik. Namun, Nabi Nuh terus berjuang dan berdakwah dengan segala kesulitan, cacian dan pelecehan.
Jika penganalisis politik menganalisis situasi Nabi Nuh berdasarkan sains politik, mungkin mereka beranggapan pengikut Nabi Nuh memilih baginda bukan kerana iman, tetapi tiada tempat dan kedudukan dalam masyarakat musyrik ketika itu.
Senario sains politik itu akan membuat kesimpulan bahawa perjuangan Nabi Nuh tidak relevan ketika itu. Tetapi adakah ini bermakna perjuangan baginda gagal dan sia-sia?
Kita lupa bahawa sifat sebenar seorang negarawan itu ialah ketika dia sanggup diuji dengan menghadapi kekalahan dan hinaan demi keyakinannya pada perjuangan.
Kita lupa, menjadi seorang negarawan bukan sahaja perlu mengajar bagaimana mahu berjaya tetapi mengajar bagaimana kita perlu menghadapi kekalahan. Dengan kekalahan ini jugalah, rupa sebenar seorang pemimpin itu akan kelihatan pada kita.-UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)