Tanam padi empat kali setahun bukan gila - Utusan Malaysia

Tanam padi empat kali setahun bukan gila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perpaduan diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempamerkan usaha berani bagi memperjuangkan nasib pesawah miskin termasuk menyalurkan bantuan dari segi kewangan.

Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan pesawah sentiasa terbela.

Langkah awal diperlukan adalah memastikan agensi yang menguruskan keperluan pesawah dari sudut penyediaan racun, baja dan upah jentera membajak serta menuai hasil diperkemaskan.

Bahan-bahan dibekalkan itu perlu lebih berkualiti selaras dengan peningkatan subsidi yang diberikan bagi tujuan meningkatkan hasil pengeluaran padi negara sekali gus dapat mengurangkan import beras.

Seterusnya bagi memperkasakan industri pertanian khususnya penanaman padi, seharusnya kerajaan membawa masuk teknologi terkini bagi memudahkan aktiviti tanaman padi termasuk menaik taraf sistem saliran supaya ia lebih sistematik dan canggih.

Jika semua ini dilaksanakan, tiada lagi pihak yang akan mengatakan cadangan kerajaan sebelum ini untuk meningkatkan aktiviti penanaman padi kepada empat kali setahun sebagai gila.

Bagi memastikan idea ini menjadi kenyataan, sudah pasti agensi kerajaan berkaitan perlu menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan benih padi yang berkualiti serta tahan daripada serangan penyakit.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan melihat bagaimana negara jiran khususnya Thailand berjaya menghasilkan produk pertanian yang baik sehingga mampu menambahkan hasil pendapatan negara melalui eksport pertanian.

Dalam pada itu, bantuan kecemasan boleh diberikan kepada pesawah yang mengalami kemusnahan padi disebabkan penyakit serta faktor cuaca.

Bantuan sara hidup kepada petani yang terlalu miskin boleh diberikan sama ada melalui pemberian tunai mahupun baucar barangan keperluan bagi memastikan kehidupan mereka sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.