Penjawat awam perlu selami penderitaan rakyat - Utusan Malaysia

Penjawat awam perlu selami penderitaan rakyat

ENAM rukun Malaysia Madani harus dihadam oleh setiap penjawat awam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AMANAT khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu bagi membangunkan Malaysia Madani adalah satu ikhtiar untuk memetakan semula strategi baharu bagi mentadbir negara dengan berkesan.

Sesungguhnya pelaksanaan Malaysia Madani memerlukan kesungguhan dan kerjasama tidak berbelah bahagi seluruh penjawat awam. Mereka perlu mengangkat martabat insan yang berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tata kelola adil dan berkesan.

Warga perkhidmatan awam yang berperanan penting menerapkan konsep Malaysia Madani dalam memacu urusan pentadbiran masing-masing.

Ini kerana pimpinan politik serta Kabinet akan berganti pergi. Namun, penjawat awam akan kekal sebagai nadi penggerak dan tulang belakang dengan usaha mengangkat sistem dan peraturan bernegara.

Lantaran enam rukun Malaysia Madani harus dihadam oleh setiap penjawat awam. Pertama ialah rukun Kemampanan yang mahu penjawat menyerlahkan sifat saling menghormati dan mengasihi sesama manusia dan alam sekitar dalam segala urusan perkhidmatannya.

Kedua ialah rukun Kesejahteraan bagi mewujudkan kesejahteraan rakyat dari segi jasmani mahupun rohani. Ketiga merupakan rukun Daya Cipta yang menekankan usaha mewujudkan proses perubahan yang berkesan dalam organisasi sekali gus perkhidmatan kepada rakyat.

Keempat ialah rukun Hormat iaitu penjawat awam mesti berbudi bahasa, bersopan santun dan merendah diri. Kelima, rukun Keyakinan iaitu melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan benar dan bijaksana.

Keenam, rukun Ihsan. Penjawat awam disaran sentiasa prihatin dan peduli terhadap setiap keperluan dan penderitaan masyarakat. Perasaan ihsan juga merujuk kepada tanggungjawab sosial dalam menyelami penderitaan dan kemelaratan rakyat.

Moga-moga cita-cita suci untuk membangunkan Malaysia Madani yang dihasratkan akan tercapai. – UTUSAN

DR. LUTFAN JAES, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.