Orang Melayu tidak tolak UMNO

Orang Melayu tidak tolak UMNO

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 4 Januari 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas artikel Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim bertajuk Menyelamatkan Riwayat UMNO terbitan Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu.

Bagi saya, bukan UMNO yang perlu diselamatkan tetapi kerajaan perpaduan dan negara daripada ancaman pengkhianat dan penderhaka kepada raja-raja Melayu, rakyat dan negara ini.

Golongan ini terus menyerang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana mereka menyedari tonggak kestabilan dan kekuatan kerajaan perpaduan adalah Presiden UMNO tersebut.

Kepada Ahmad Faris, UMNO/BN (Barisan Nasional) memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan tujuh kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) dan dua pilihan raya negeri (PRN). Ini satu pencapaian cemerlang di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid yang ketika itu tiada jawatan dalam kerajaan.

Pencapaian cemerlang ini seharusnya menjadikan UMNO/BN sebagai calon favorite dalam PRU15.

Namun, pasca PRU15 menyaksikan UMNO/BN hanya memperoleh 30 kerusi sedangkan Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 73. Seharusnya ini membuka mata semua pihak kenapa pencapaian BN begitu buruk sekali.

Pencapaian PH adalah wajar kerana kekuatan mereka adalah daripada pengundi bukan Melayu.

Persoalan paling menarik, bagaimana PN yang dipimpin oleh bekas perdana menteri paling gagal mampu memperoleh sehingga 73 kerusi? Maka, pada hemat saya, kejayaan PN yang memeranjatkan itu seharusnya dianalisis secara terperinci oleh semua pihak.

Benarkah orang Melayu menolak UMNO/BN? Mereka tidak menolak tetapi hanya terus tertipu dan terpedaya dengan segala pembohongan, fitnah, politik wang, sentimen agama dan bangsa daripada PN dan golongan yang berada di belakangnya.

Apakah golongan seperti ini yang wajar diberikan peluang untuk menguasai UMNO, kerajaan dan negara?

Demi kestabilan kerajaan perpaduan, Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dikekalkan.

Dalam sejarah panjang UMNO, pertandingan tersebut hanya memecah-belahkan parti dan orang Melayu sahaja.

Pada masa ini, semua pihak harus memainkan peranan untuk memperkukuh kerajaan demi kestabilan dan kemakmuran rakyat serta negara. Ini zaman islah dan tajdid. Fokus pada penyelesaian jika ingin maju ke hadapan.-UTUSAN

DATUK DR. RAMALAN YUNUS
Penganalisis politik & ekonomi bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN