Kebanjiran warga asing ibarat bom jangka, barah - Utusan Malaysia

Kebanjiran warga asing ibarat bom jangka, barah

PIHAK berkuasa perlu lebih kerap menjalankan operasi bagi menangkap warga asing yang melanggar undang-undang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini timbul semula isu pusat bandar raya Kuala Lumpur didominasi peniaga warga asing dan rakyat asing yang membeli-belah di kedai-kedai rakan senegara.

Saya berharap kerajaan baharu dapat memberi perhatian kepada isu warga asing ini yang sudah terang-terangan menjadikan sesetengah kawasan seolah-olah negara mereka sehingga wujud gelaran Little Dhaka, Little Bangladesh dan sebagainya.

Jabatan Imigresen perlu memperluaskan dan melaksanakan secara lebih kerap Op Sapu sepertimana dijalankan di sebuah ­flat di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada 7 Januari lalu ke di tempat lain agar warga asing sedar pergerakan mereka sentiasa dipantau dan perlu mengelak diri daripada melanggar undang-undang.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga perlu melakukan serbuan secara lebih kerap bagi mengetahui status lesen perniagaan warga asing yang mampu membuka kedai dan menggajikan pekerja.

Pertambahan warga asing ini perlu dibuat kajian puncanya memandangkan kebanyakan yang masuk ke negara ini mempunyai permit kerja untuk bidang dibenarkan sahaja dan bukan untuk berniaga.

Kerajaan patut menunjukkan ketegasan dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada warga asing yang sudah terlalu ramai melakukan kesalahan imigresen seperti tiada dokumen diri, salah guna permit kerja dan tinggal lebih masa.

Kegagalan kerajaan menangani isu kebanjiran warga asing akan menyebabkan mereka mendominasi kegiatan ekonomi negara khususnya perniagaan yang sepatutnya hak rakyat tempatan sahaja.

Rakyat semakin resah kerana warga asing sudah mendapat segala-galanya termasuk mampu memiliki rumah, menikmati peluang pekerjaan di pelbagai sektor dan meneroka tanah untuk pertanian.

Orang ramai amat berharap masalah warga asing ini dapat diselesaikan dengan sistematik dan berani oleh kerajaan kerana isu ini sudah menjadi barah dan bom jangka yang boleh merosakkan negara. – UTUSAN

APA PENYUDAHNYA, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.