GTA terus bawa agenda politik berwibawa - Utusan Malaysia

GTA terus bawa agenda politik berwibawa

ADAKAH dasar politik wibawa, berprinsip dan bersih bukan lagi menjadi keutamaan agenda Pejuang? – GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELEPAS pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan penarikan diri dari gabungan politik Gerakan Tanah Air (GTA) baru-baru ini, ahli dan para penyokong tertanya-tanya, parti mana yang patut mereka ikut.

Mereka berada dalam dilema, ditelan mati emak, diluah mati bapa untuk memilih sama ada Pejuang atau GTA.

Sebelum menjawab persoalan di atas, ingin dinyatakan GTA ditubuhkan atas agenda mahu mengangkat atau mengembalikan kepimpinan politik Melayu yang berwibawa, kekal berprinsip dan bersih.

Parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di dalam GTA telah sepakat dan bersetuju dengan agenda yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ini.

Maka secara tidak langsung kita akan bertanya kembali, adakah keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA dengan alasan untuk memperkukuhkan kembali parti itu adalah gambaran bahawa ia tidak lagi bersetuju dengan agenda GTA yang disepakati selama ini?

Adakah dasar politik wibawa, berprinsip dan bersih ini bukan lagi menjadi keutamaan agenda Pejuang? Agak sukar saya hendak memahaminya.

Justeru, kepada rakan-rakan yang berada dalam dilema untuk memilih sama ada mahu bersama dengan Pejuang atau GTA, maka buatlah pilihan sebaik-baiknya.

Ini adalah hak masing-masing, cuma fahami betul-betul niat dan tujuan kalian menyertai politik, sama ada mahu membawa agenda politik berwibawa atau hanya mahu memperkukuhkan parti politik masing-masing.

Tepuk dada tanya selera. Perjuangan ini tidak mudah, malah akan selalu dipandang serong oleh musuh politik termasuk rakan-rakan anda sendiri.

Keadaan ini akan bertambah sukar kerana kita tidak punya banyak wang untuk ditawarkan bagi membeli hati dan mendapatkan sokongan rakyat.

Maka, jika anda mahu telan, telanlah apa yang anda mahu telan atau luahkanlah apa yang anda mahu luahkan. Ini demokrasi. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.